Wednesday, 30 January 2013

KD SRI INDERAPURA - DALAM KENANGAN


Suatu ketika dahulu, Tentera Laut Diraja Malaysia- TLDM pada 8 Januari 1984 pernah mengalami detik pilu apabila kehilangan sebuah kapal peronda (Patrol Craft-PC) iaitu KD Sri Perak yang tenggelam akibat terperangkap di dalam ribut tropika di posisi 0303N 10800E berhampiran Pulau Natuna Besar perairan Laut Cina Selatan.  Tanggal 8 Oktober 2009 pula merakamkan sekali lagi detik kehilangan sebuah lagi kapal di dalam armada TLDM iaitu KD Sri Inderapura (A1505). 

KD Sri Inderapura yang merupakan kapal pemerintah dan logistik TLDM telah mengalami kemusnahan total akibat kebakaran besar semasa sedang berlabuh di Dermaga Air Dalam, Pangkalan TLDM Lumut, Perak.  Untuk rekod, KD Sri Inderapura merupakan kapal pengangkut yang terbesar di dalam armada TLDM dengan sesaran maksimun 8000 tan sejak tahun 1995 hingga detik-detik terakhir perkhidmatannya pada tahun 2009. 

KD Sri Inderpura - Aset Terpakai
Rakyat Malaysia terutamanya yang tidak mempunyai pengetahuan dan latar belakang mengenai bidang ketenteraan mungkin tidak mengetahui bahawa KD SIP merupakan sebuah kapal pengangkut terpakai yang diperolehi TLDM pada tahun 1995.  Kapal dari kategori Landing Ship Tank- LST dari kelas Newport ini dengan nama  USS Spartanburg County pernah berkhidmat di bawah Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) suatu ketika dahulu selama hampir 25 tahun. 

Untuk rekod, KD SIP merupakan kapal pengangkutan logistik terpakai yang ketiga dibeli daripada Tentera Laut Amerika syarikat Selepas KD Raja Jarom (A1502) dan KD Sri Bangi (A1501).  KD Raja Jarom merupakan Ex-USS Sedgwick County (LST1123) manakala KD Sri Bangi merupakan Ex-USS Henry County (LST824) dan kedua-duanya ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM pada tahun 1976. 

Kapal-kapal dari kelas landing ship ini dibeli oleh kerajaan Malaysia bagi dioperasikan oleh TLDM sebagai memenuhi keperluan military sealift iaitu untuk menghantar anggota tentera, kenderaan serta barangan logistik melalui jalan laut dan lebih efektif untuk pergerakan anggota dan logistik dari semenanjung Malaysia ke Malaysia Timur.

Sejarah Awal Pengoperasian LST
Kapal Pendarat atau Landing Ship Tank merupakan kapal untuk misi ketenteraan yang dibina semasa untuk memberikan bantuan operasi amfibi dengan keupayaan mengangkut kenderaan, kargo dan pasukan tentera secara pantas ke kawasan pantai bagi melaksanakan serangan.

Pihak tentera bersekutu telah menggunakan Kapal Pendarat (Landing Ship Tank-LST) semasa Perang Dunia Kedua bagi mendaratkan kereta kebal dan artileri mereka semasa penakhlukan Afrika Utara, Sicily, Italy, Normandy dan Selatan Perancis.  Penggunaan LST juga merupakan salah satu faktor kejayaan tentera Jepun menawan bahagian barat rantau Pasifik pada tahun 1941 sehingga memaksa tentera bersekutu turut mencipta dan memperbaiki keupayaan kapal dari jenis yang sama. 

Kapal jenis Landing Ship Tank ini telah membuktikan keupayaannya di dalam aspek kepantasan aturgerak anggota, kereta kebal dan artileri ke medan konflik.  Tentera Laut Amerika Syarikat telah menggunakan LST antara tahun 1942 hingga 1945 untuk menyerang dan menawan gugusan pulau jajahan Jepun yang berpotensi dibangunkan untuk dijadikan pangkalan laut dan udara.  LST merupakan kapal yang dilihat berpotensi dari segi elemen pengangkutan taktikal anggota dan logistik ke medan konflik dalam masa yang singkat dan juga sesuai diaplikasikan sebagai kapal bantuan kemanusiaan.

USS Spartanburg County (LST1192)
Kapal USS Spartanburg County merupakan sebuah kapal pendarat dari kelas Newport yang digunakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat sebagai kapal pengangkut anggota dan logistik. Selain itu, ia juga diaplikasikan kereta kebal, kenderaan amfibia dan pelbagai kenderaan serta peralatan berat. 

USS Spartanburg County telah mencurahkan khidmat bakti selama hampir 24 tahun sebelum ditamatkan perkhidmatan dan dibeli oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1995. Kapal pengangkut ini dibina oleh firma National Steel & Ship Building Company, San Diego, Amerika Syarikat pada 7 Februari 1970 dan ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Laut Amerika Syarikat pada 1 September 1971. 

Kapal pengangkut ini merupakan kapal ke-13 daripada 20 unit kapal kelas Newport yang dimiliki oleh Tentera Laut Amerika Syarikat.  Sebanyak 8 daripada 20 unit kapal pengangkut ini telah dijual kepada Malaysia, Sepanyol dan Australia dan juga disewakan kepada negara negara lain.

Sepanjang perkhidmatannya, USS Spartanburg County telah terlibat di dalam pelbagai misi samada misi yang melibatkan ketenteraan atau misi bantuan kemanusiaan.  Kapal pengangkut ini pernah terlibat di dalam misi kemanusiaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik utara (NATO) iaitu Operasi Dorian Salute IV pada tahun 1974

Spartanburg County pernah terlibat di dalam beberapa konflik utama dunia seperti Operasi Desert Shield dan Desert Storm dalam Perang Teluk.  Ketika Perang Teluk, Spartanburg County digunakan untuk mengangkut kereta kebal M1A1 brims seberat 63 tan.  Ekspedisi kemanusian ke Lubnan dan Kuwait juga memperlihatkan keupayaan kapal ini di dalam melaksanakan misi dengan jayanya.
Pembelian USS Spartanburg County
Kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat telah menandatangani perjanjian pembelian USS Spartanburg County pada 14 November 1994 untuk TLDM dengan harga RM48 Juta.  Pembelian tersebut turut merangkumi penyedian aspek Sistem Sokongan Logistik Bersepadu (ILS).  Perjanjian tersebut juga melibatkan pembekalan sokongan logistik selama tiga tahun dan kemudahan latihan kakitangan. 

Kerajaan Malaysia telah diwakili oleh Setiausaha Bahagian Kontrak Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Abdul Aziz Muhamad manakala bagi pihak Kerajaan Amerika Syarikat pula diwakili oleh Dutanya ke Malaysia, John S Wolf.  Antara kenamaan yang hadir bagi menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian tersebut ialah timbalan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan. 

Selain itu turut hadir ialah enam orang senator Amerika syarikat termasuk ketua delegasinya, Senator Christopher. Berikutan pembelian tersebut, sekumpulan pegawai dan anggota TLDM telah dihantar ke Norfolk, Amerika Syarikat bagi menjalani latihan pengendalian kapal tersebut selama beberapa bulan sebelum dibawa pulang ke Malaysia.

KELUHAN ANAK SUSUAN ‘KOBE’ - Norfolk, Amerika Syarikat
Pembaca pastinya tertanya-tanya apakah maksud ‘Keluhan Anak Susuan ‘Kobe’ di atas.  Anak Susuan ‘Kobe’ dalam ayat tersebut nama gelaran yang digunakan oleh salah seorang anggota Lain-Lain Pangkat-LLP TLDM yang telah dihantar ke Norfolk, Amerika Syarikat bagi proses menerima dan membawa pulang KD Sri Inderapura yang baru dibeli ketika itu.  Keluhan anak kapal Sri Inderapura ini telah disiarkan di dalam akhbar Berita Harian bertarikh 14 Mac 1995.  Beliau menyatakan bahawa mereka mengalami masalah penerimaan elaun yang hanya dibayar ¼ daripada jumlah yang sepatutnya dan elaun tersebut hanya dibayar selama dua bulan sahaja.  Beliau juga turut menyatakan bahawa keadaan tersebut menyebabkan mereka menghadapi masalah kewangan dan juga dalam mendapatkan keperluan harian kerana kekurangan wang dan harga barang keperluan yang perlu dibeli agak mahal.

No money?  What happen to your navy? Begitulah kata-kata sindiran yang diungkapkan oleh anggota Tentera Laut Amerika apabila berjalan atau berselisih dengan anggota TLDM.  Ini sudaah semestinya merendahkan moral dan martabat mereka.  Keluhan anggota tersebut perlu diambil berat oleh pihak tertentu terutamanya TLDM sendiri.  Sewajarnya perkara yang sama perlu dipastikan agar tidak berulang lagi pada masa hadapan sekiranya TLDM perlu menghantar anggota dan pegawainya untuk berkursus atau berkhidmat di luar negara kerana ianya melibatkan imej negara serta moral warga TLDM.

Dari Amerika ke Malaysia
TLDM secara rasminya telah menerima kapal pengangkut KD Sri Inderapura pada 17 Disember 1994 di Norfolk, Virginia, Amerika Syarikat dalam sebuah majlis yang gilang-gemilang dengan dihadiri oleh 150 orang warga TLDM dan hampir 250 orang warga United State Navy, keluarga dan sahabat handai. 

Kapal pengangkut tersebut telah diterima oleh Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Abdul Majid Mohamed selepas panji-panji rasmi USS Spartanburg County diturunkan dari tiang kapal sebagai simbolik menandakan tamatnya perkhidmatan kapal pengangkut tersebut di dalam armada United State Navy.

‘’Saya akan merinduinya… Tiada Kapten yang gembira untuk melepaskan kapalnya pergi.  Tetapi saya gembira apabila Kepten Azman, seorang profesional sejati, akan mengambilnya- ia seperti memberi nafas baru kepadanya.”  Petikan kata-kata Commander Patrick M. Comi, Pegawai Memerintah USS Spartanburg County ini diungkapkan beliau semasa majlis penyerahan kapal tersebut kepada wakil kerajaan Malaysia dan Kepten Noor Azman Othman TLDM. 

Kepten Noor Azman merupakan seorang pegawai kanan TLDM yang dipertanggungjawabkan bagi mengetuai kapal USS Spartanburg County yang kemudiannya dinamakan sebagai KD Sri Inderpura pulang ke Malaysia bagi berkhidmat di dalam armada TLDM.  Kepten Noor Azman juga merupakan pegawai memerintah KD SIP yang pertama.

KD Sri Inderapura
KD Sri Inderapura yang merupakan kapal pengangkut ketiga dan terbesar telah selamat tiba di Malaysia pada 31 Januari 1995 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.  Ketibaan kapal sepanjang 171m, lebar 21.3m, berat 8 993tan metrik dengan kelajuan 25knot membuka lembaran baru bagi TLDM di dalam pengoperasian kapal pengangkut terbesar di dalam armadanya. 

Selain KD Sri Inderapura TLDM juga mengoperasikan dua unit lagi kapal pengangkutan logistik iaitu KD Sri Indera Sakti (A1503) dan KD Mahawangsa (A1504).  Gandingan ketika-tiga buah kapal pengangkutan logistik ini telah membawa kepada pembentukan Skuadron ke-31 Kapal Kawalan dan Perintah Pelbagai Guna (MPCSS- Multi Purpose Command & Support Ship) TLDM.  Skuadron ini merupakan satu-satunya skuadron kapal pengangkut yang sering diberikan tugasan dalam pelbagai operasi amfibi dan pelbagai lagi operasi penting seperti Ops Fajar dan lain-lain misi kemanusiaan. 

Sepanjang perkhidmatannya di bawah 10 orang pegawai memerintah, KD Sri Inderapura telah menyumbangkan baktinya samada di dalam misi ketenteraan, misi ketenteraan bukan perang dan juga misi kemanusiaan.  Pada tahun 2004, kapal ini telah diaturgerakkan ke Acheh bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan selepas wilayah tersebut mengalami kemusnahan teruk akibat dilanda Tsunami. 

Selain itu, KD Sri Inderapura juga turut terlibat di dalam beberapa eksesais antaranya Eksesais KERISMAS yang mula dianjurkan pada tahun 1981 pada tahun 1999 dan Eksesais Angkasa dan Samudera (Eksesais ANGSA)  yang merupakan gabungan latihan tahunan antara Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) yang dimulakan sejak tahun 2006.  

Pada 19 Ogos 2008, dua buah kapal dagang MV Bunga Melati 2 dan MV Bunga Melati 5 milik syarikat dari Malaysia iaitu Malaysian International Shipping Corporation Berhad- MISC telah dirampas dan anak kapalnya dijadikan tebusan di Teluk Aden berhampiran perairan Somalia oleh lanun-lanun dari Somalia.  Insiden ini telah membawa kepada pelancaran Operasi Fajar/Ops Fajar pada 30 Ogos 2008 bagi menyelamatkan tebusan yang kebanyakannya terdiri daripada rakyat Malaysia dan sebilangan kecil rakyat negara asing. 

Antara aset-aset TLDM yang diatugerak bagi melaksanakan misi menyelamat tersebut ialah KD Lekiu, KD Sri Inderapura dan dua unit helikopter dari KD Rajawali iaitu Super Lynx dan Fennec.  Untuk mengungkapkan kembali penglibatan dan khidmat bakti yang dicurahkan oleh kapal pengangkut terbesar milik TLDM ini satu-persatu sememangnya tidak terkira banyaknya.

Terbakar!
Sejarah KD Sri Inderapura mengalami kebakaran pada 8 Oktober 2009 yang lalu bukanlah kali pertama sejak ia diperolehi TLDM.  Kapal pengangkut ini pernah mengalami kebakaran pada tahun 16 Disember 2002 ketika berlabuh di Pangkalan TLDM Lumut tetapi tidak seteruk tragedi 2009 yang menyebabkan kemusnahan kapal tersebut secara total.

Kejadian kebakaran yang melibatkan kapal ini dikatakan berpunca daripada sistem pendawaian kapal tersebut yang telah usang dan mudah mengalami litar pintas yang membawa kepada tercetusnya kebakaran.  KD Sri Inderapura juga dilaporkan pernah menjalani program tingkat upaya di sebuah firma perkapalan di Johor.  Siasatan awal mendapati anjungan kapal itu terbakar akibat litar pintas di bahagian anjungan kapal. KD SIP telah ditunda kira-kira 1.5meter ke tengah laut bagi mengelakkan sebarang letupan yang mungkin boleh mengancam keselamatan selain mengelakkan kebakaran merebak ke kapal-kapal yang lain yang sedang berlabuh berhampiran KD SIP.  Ketika kejadian, terdapat 77 orang anggota termasuk enam pegawai dan 22 pelatih sedang bertugas di kapal pendarat tersebut ketika berlakunya indiden kebakaran tersebut.

KD SIP sepatutnya dijadualkan akan belayar ke Sabah dan Sarawak untuk melaksanakan tugas menghantar bekalan logistik ke Markas Wilayah Laut II di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah pada 12 Oktober 2009 namun, kejadian kebakaran pada 8 Oktober 2009 menyebabkan tugas menghantar bekalan logistik ini terpaksa digantikan oleh kapal pengangkut yang lain. 

Usaha-usaha memadamkan kebakaran kapal ini dilakukan oleh Unit Bomba TLDM Lumut manakala Pasukan Bomba & Penyelamat Malaysia mengaturgerakkan dua buah jentera masing-masing dari Seri Manjung dan Sitiawan.  Usaha ini juga turut dibantu oleh gandingan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), firma Bousted Naval Shipyard dan juga bot tunda awam.  Menjelang jam 2 petang, kebakaran telah berjaya dikawal walaupun masih tidak dapat dipadamkan secara total. 

Apa yang menarik semasa insiden kebakaran tersebut ialah berlaku satu peristiwa yang unik dan luar biasa iaitu gada-gada tauliah dan gada-agada piala agong dan panji-panji TLDM pada KD SIP tidak dijilat api walaupun ketika itu, api sedang marak membakar segenap ruang kapal tersebut.  Peristiwa tersebut dikatakan seolah-olah KD SIP mahu menunjukkan rasa bangganya sebagai sebual Kapal DiRaja (KD).  Menurut Panglima TLDM, Abdul Aziz, kejadian tersebut amat pelik kerana gada-gada tersebut tidak terjatuh semasa kapal sedang terbakar.

Kebakaran ini mengambil masa beberapa hari untuk dipadamkan kerana saiz kapal yang agak besar serta api yang marak menjulang menyebabkan bahagian anjungan, geladak kereta kebal di tingkat tiga dan beberapa bahagian utama kapal turut rosak dan terjejas.  Oleh kerana banyak bahagian utama kapal mengalami kerosakan, maka keseimbangan kapal ini menjadi tidak stabil dan kuasa apungannya semakin rendah akibat dipenuhi air dan akan tenggelam sekiranya tidak diapungkan. 

Oleh yang demikian, sebuah syarikat swasta telah dilantik bagi melaksanakan tugas-tugas mengapungkan KD SIP kerana ia akan memberi kesan kepada perjalanan kapal-kapal lain yang melalui kawasan tersebut.  KD SIP telah diishtiharkan musnah secara total dan tidak lagi boleh digunakan dan kos untuk membaik pulih kapal ini tidak berbaloi dan lebih baik jika dibeli kapal yang baru.

Pengganti KD SIP
Sejak kehilangan KD SIP di dalam pegangan TLDM, hanya dua unit kapal pengangkutan logistik yang masih dimiliki iaitu KD Sri Indera sakti dan KD Mahawangsa.  Gandingan dua unit kapal logistik ini dilihat sebagai belum mencukupi bagi memenuhi tuntutan penugasan TLDM yang semakin hari semakin bertambah dan mencabar.  Perancangan bagi program perolehan kapal sokongan pelbagai guna telah dirancang sejak di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi meningkatkan keupayaan aset sediada selain memperkasakan keupayaan mobiliti Angkatan Bersama ATM. 

Kerajaan pada dua tahun yang lalu dikatakan berminat untuk memperoleh dan telah menempah sebuah kapal pengangkut pelbagaiguna LP-X Dokdo Amphibous Ship Republic of Korean Navy yang dibina oleh Firma Hanjin Heavy Industries & Construction dari Korea Selatan tiga tahun yang lalu setelah kapal tersebut menyertai pameran LIMA 2007 namun perolehan terpaksa dibekukan akibat kegawatan ekonomi yang melanda ketika itu.  Dato’ Seri Mohd Najib yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Pertahanan Malaysia pernah melawat kapal buatan Korea Selatan tersebut  pada edisi LIMA 2007 tersebut. 

LIMA 2007 dikatakan pembawa sinar harapan bagi TLDM di dalam pencarian kapal Multi- Purpose Support Ship yang bukan sahaja berpaksikan penggantian aset sedia ada, tetapi lebih menjurus kepada keperluan sebenar TLDM di dalam melaksanakan pelbagai misi yang semakin mencabar dan memerlukan aset-aset yang lebih berupaya.  Insiden kehilangan KD SIP di dalam pegangan TLDM menyaksikan perlunya pengganti bagi mengimbangi penugasan penghantaran logistik yang kini menjadi bebanan KD Sri Inderasakti dan KD Mahawangsa.

Dato’ Sri Mohd Najib ketika melawat LP-X Dokdo semasa LIMA 2007 yang lalu.
Selain LP-X Dokdo, antara kapal-kapal lain yang mendapat perhatian TLDM ialah Type 071- Yuzhaoa Class Amphibious Transport Dock, LPD Rotterdam Class Landing Platform Dock dan LPD Foudre Class Landing Platform Dock buatan firma DCN, Brest.  Berikut ialah serba sedikit maklumat mengenai kapal-kapal yang menjadi diuar-uarkan bakal menjadi calon penggantian dan penambahan keampuhan dan keupayaan skuadron MPCCS sedia ada antaranya:-

LP-X Dokdo Amphibious Ship
Kapal LP-X Dokdo Amphibous Ship merupakan sebuah kapal pengangkut amfibia yang dibangunkan oleh Firma Hanjin Heavy Industries.  Kapal ini didorong oleh 4 unit enjin berkuasa diesel S.E.M.T Pielstick 16PC2.5 STC.









LP-X Dokdo Amphibious Ship
Pembina
:
Hanjin Heavy Industries
Kuasa Dorongan
:
4 Enjin Diesel S.E.M.T Pielstick 16PC2.5 STC
Panjang
:
200m
Lebar
:
32m
Draught
:
6.5m
Kelajuan
:
22 knots
Sesaran
:
14340 tan minimum & maksimum 18860 tan
Muatan
:
1 Batalion (700 anggota)
200 unit kenderaan
10-15 helikopter mengikut saiz
2 LCAC (Landing Craft Air Cushioned).


Type 071- Yuzhaoa Class Amphibious Transport Dock
Pembina
:
Hudong- Zhonghua Shipyard
Kuasa Dorongan
:
CODAD, 2 Shaft, 4 x SEMT Pielstick 16PC2.6 V400
Enjin Diesel berkuasa 35200kW (47200hp).
Panjang
:
210m
Lebar
:
28m
Draught
:
7m
Kelajuan
:
22+ knots
Sesaran
:
20000 tan
Muatan
:
Batalion Kor Marin (500-800 trup)
10-15 unit kenderaan berperisai amfibia
4 LCACs (Landing Craft Air Cushioned).












LPD Foudre Class Landing Platform Dock
Pembina
:
DCN Brest
Kuasa Dorongan
:
Enjin Diesel 2 SEMT Pielstick 16 PC 2.5 V400
Panjang
:
168m
Lebar
:
23.5m
Draught
:
5.2m
Kelajuan
:
21 knots
Sesaran
:
Standart 11300 tan & 12000 tan Muatan Penuh
Muatan
:
Batalion Kor Marin (500-800 trup)
10-15 unit kenderaan berperisai amfibia
4 LCACs (Landing Craft Air Cushioned).


























































Kapal Pengangkut Logistik Negara Jiran
Kapal pengangkutan logistik TLDM sama ada KD Sri Inderapura, KD Mahawangsa dan KD Indera Sakti secara asasnya tidak menyamai apatah lagi menandingi kemampuan kapal pendarat amfibia atau Dok Platform Pendarat (LPD) sebagaimana yang dimiliki oleh dua buah negara jiran Malaysia.  Tatkala memandang ke arah selatan semenanjung, kita pastinya terbayangkan sebuah negara pulau yang kecil tetapi mempunyai keupayaan dan tahap kesiapsiagaan militer yang tinggi dari segi kuantiti dan kualiti aset angkatan tenteranya, iaitu Singapura. Meskipun batas perairan yang dipertanggungjawabkan kepada Republic of Singapore Navy (RSN) amat terhad, namun pemilikan kapal pendarat amfibi di dalam armada RSN lebih daripada tahap kesiagaan. 

Sehingga hari ini, RSN mempunyai 4 unit kapal Pendarat (LPD-Landing Platform Dock), dari Kelas Endurance iaitu RSS Endurance- 207, RSS Resolution- 208, RSS Persistence- 209 dan RSS Endeavour- 210 yang dihasilkan oleh firma tempatan, Singapore Technology (ST) Marine yang membentuk Skuadron 191 RSN dan situasi ini dilihat jauh melangkaui kemampuan TLDM jika dibandingkan dengan kuantiti pemilikan kapal pengangkut serbaguna dan sektor keluasan kawasan peraiaran negara yang perlu dipertahankan kedaulatannya. 

Bagi negara Indonesia pula, walaupun negara ini dilihat mempunyai bajet peruntukan bagi sektor perbelanjaan pertahanan yang terhad, namun negara ini masih lagi mampu melengkapkan armada Tentera Nasional Indonesia- Angkatan Laut (TNI-AL) dengan 4 unit LPD Kelas Makassar yang berharga di antara USD19.9J – USD30J seunit.  Antara kapal-kapal di dalam Kelas Makassar ini ialah KRI Makassar- 590, KRI Surabaya- 591, KRI Banjarmasin- 592 dan yang terakhir KRI Banda Acheh- 593.  Seunit dan sebahagian kapal ini dibina oleh firma Daesun Shipbuilding and Eng. Co Ltd., Pusan, Korea Selatan yang merupakan sebahagian dari Daewoo International Corporation.  Baki 2 unit kapal lagi telah dibina oleh firma tempatan di Limbungan PT PAL di Surabaya.  Kemandirian dan keupayaan industri kejuruteraan marin Indonesia ini sewajarnya dijadikan contoh oleh firma tempatan bagi memastikan Malaysia juga mampu dan setanding dengan negara jiran di dalam pembinaan kapal-kapal perang.

Lagi Kapal TLDM Terbakar!
Tanggal 13 Januari yang lalu, TLDM sekali lagi mengalami peristiwa yang hampir sama apabila sebuah lagi kapal di dalam pegangannya, KD Mutiara terbakar.  Bezanya hanya kapal ini mengalami kebakaran semasa di dalam proses penyelenggaraan dan pemeriksaan rutin di limbungan Malaysian Marine and Heavy Engineering MMHE) Sdn. Bhd. di Pasir Gudang, Johor. Kapal berukuran 71m panjang dan 13m lebar ini digunakan oleh TLDM untuk melakukan tugas-tugas berkaitan data hidrografi seperti mengukur kedalaman, bentuk dan morfologi laut, arah aliran ombak serta maklumat pasang surut air laut dilaporkan mula terbakar pada pukul 7.30 petang dan kebakaran tersebut berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 3.30 pagi.  Proses memadamkan kebakaran dikatakan sukar kerana terdapat beberapa ruang kecil di dalam kapal yang mudah terbakar. 

Kapal berusia 35 tahun yang dibina oleh firma Hong Leong Lurssen Dockyard di Pulau Pinang ini mengalami kerosakan hampir 80 peratus di bahagian hadapan akibat kebakaran tersebut.  Pengurus besar MMHE di dalam kenyatannya menyebut bahawa ketika kejadian beberapa anggota TLDM dan kakitangan MMHE turun untuk menunaikan solat maghrib manakala beberapa lagi masih berada di atas kapal tetapi berjaya menyelamatkan diri.  Sehingga artikel ini ditulis, siasatan masih lagi dijalankan manakala punca kebakaran dan nilai kerugian masih belum dapat dipastikan tetapi beberapa andaian dan teori mengenai punca kebakaran diutarakan antaranya kebakaran tersebut berpunca daripada percikan api semasa kerja-kerja kimpalan sebelum merebak dan terbakar.

KD Mutiara dioperasikan oleh Pusat Hidrografi Nasional di bawah TLDM bagi melaksanakan tugas-tugas berkaitan bidang mariti.  Selain KD Mutiara, terdapat sebuah lagi kapal bagi melaksanakan tugas yang sama iaitu KD Perantau.

Kesimpulan
Insiden yang menimpa KD SIP bukanlah sesuatu yang perlu diperdebatkan dan dijadikan penanda aras untuk mengukur dan mempertikaikan tahap kesiapsiagaan TLDM di dalam memastikan keselamatan aset-asetnya sentisa terpelihara pada tahap yang maksima kerana punca utama kebakaran tersebut adalah disebabkan faktor usia kapal yang telah berusia di ambang senja iaitu hampir 39 tahun.  Jika perolehan terbaru dilaksanakan di dalam masa yang terdekat, diharapkan agar ia dilaksanakan dengan lebih transparent iaitu setiap maklumat dan perkembangan perolehan tersebut disebarkan kepada umum samada melalui media cetak mahupun elektronik mengikut acuan pihak Kementah dan ATM sendiri dengan kawalan agar tidak melibatkan tahap kerahsiaan kritikal aset tersebut bagi bagi memastikan segenap lapisan rakyat faham akan keperluan program pembaharuan dan perolehan aset secara berterusan dalam menjaga dan melindungi perairan negara. 

Selain itu, ia juga diharapkan dapat mengelakkan suara-suara sumbang yang cuba menangguk di air yang keruh kedengaran lagi.  Sikap ‘baling batu dan kemudiannya sorokkan tangan’ oleh individu tertentu sebagaimana yang berlaku semasa perolehan aset-aset untuk keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti kontoversi perolehan pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM, pesawat helikopter Eurocopter EC-725 Cougar untuk TUDM, kapal selam Scorpene dan perolehan kapal perang pesisir pantai (SPGV-LCS) untuk TLDM beberapa tahun yang lalu perlu dipastikan agar tidak berulang lagi. 

Kebanyakan di antara mereka tidak mendapat maklumat tepat dan hanya mendapat gambaran melalui berita dan khabar angin yang disebarkan pihak yang tidak bertanggungjawab yang hanya mengeluarkan kenyataan yang berlandaskan kekalutan fakta tanpa sebarang analisis dan dan usul periksa bagi menimbulkan provokasi dan membangkitkan isu panas walhal ia tidak seperti yang dihebahkan.  Setiap perolehan aset-aset ketenteraan yang baru dan terkini bukan hanya melibatkan aset tersebut semata-mata.  Ia turut merangkumi pakej-pakej lain merangkumi kos-kos alatganti, kos pemindahan teknologi, kos peralatan simulasi, latihan kemahiran krew dan lain-lain kos yang relevan dan bersangkutan dengan perolehan aset tersebut.  Tetapi di pihak Kerajaan sendiri, pemantauan perlu dilakukan terhadap mereka yang berkuasa dan berkepentingan di dalam proses perolehan aset ini kerana ada jua kemungkinan golongan ini mengambil kesempatan untuk mengisi poket masing-masing tanpa disedari.

Proses bagi merealisasikan perolehan kapal pengangkut serbaguna bagi memperkukuhkan armada TLDM ini semestinya menuntut kefahaman dan semangat patriotisma setiap lapisan dan golongan masyarakat tanpa membezakan pangkat dan ideologi politik kerana setiap warganegara mempunyai tanggungjawab di dalam menjaga keamanan dan kesejahteraan negara.  Rakyat juga perlu menyedari bahawa Angkatan Tentera Malaysia merupakan tonggak pertahanan negara yang menjadi harapan utama tatkala negara menghadapi ancaman.  Alangkah malangnya sekiranya negara dilanda peperangan, aset-aset sediada tidak begitu berkesan bagi melaksanakan operasi cegah rintang yang mana secara tidak lansung akan turut membawa kepada kejatuhan moral warga ATM. 

Cukuplah sekiranya kita sekadar memandang akan pengalaman yang lalu.  Sebagai contoh mudah, semasa Operasi Piramid yang lalu, iaitu operasi yang dilancarkan ATM pada tahun lalu bagi membawa keluar rakyat Malaysia dari bumi Mesir yang dilanda kekacauan akibat pemberontakan rakyatnya yang menuntut Presiden Hosni Mubarak supaya meletak jawatan.  Kekacauan yang berlaku menyebabkan beberapa kawasan menjadi lumpuh dan berbahaya. Situasi ini menyebabkan Kerajaan Malaysia merasakan perlunya tidakan membawa keluar rakyatnya di negara tersebut bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Beberapa unit aset dari TUDM iaitu pesawat Lockheed Martin C-130 Hercules telah diterbangkan merentasi lautan yang beribu-ribu batu jaraknya dan aset-aset pengangkutan logistik dari TLDM yang mengharungi samudera bagi menunaikan tanggungjawab dalam memastikan rakyat Malaysia yang terperangkap di bumi Mesir dapat dibawa pulang ke tanah air dengan selamat. Ketika inilah mula kedengaran suara-suara sumbang yang mula mengeluh akan kelewatan pihak TLDM dan kerajaan bertindak.  Jika aset-aset yang termoden diperolehi, tidak mustahil, operasi seperti Operasi Piramid akan menjadi lebih cepat dan pantas.

Proses mengoptimumkan pegangan aset termoden di dalam sebarang cabang perkhidmatan ATM samada TDM, TLDM mahupun TUDM perlulah disokong dan dipandang dari perspektif yang positif.  Perlu juga diingatkan bahawa setiap proses perolehan ini perlulah dibuat secara telus dan tidak hanya sambil lewa kerana ianya bakal membuka peluang untuk wujudnya unsur-unsur provokasi yang boleh menggugat maruah dan mengancam kedaulatan negara.  Penambahan beberapa unit lagi kapal pengangkutan logistik seumpama ini sepatutnya tidak menjadi satu retorik dan kedudukan ekonomi negara sebagai penghalang utama.  Memetik kata-kata seorang pembaca di dalam sebuah laman blog, beliau menzahirkan kebimbangan dengan menyatakan ‘Saya berharap MINDEF segerakan penggantinya (KD Sri Inderapura). Faktor aset adalah perlu diberikan Keutamaan Yang Utama. Jika masalah kewangan diberikan keutamaan, saya bimbang kata-kata Saidina Umar r.a. "Kemiskinan membawa kepada kekufuran". Saya lihat 'kekufuran itu' bukan pada urusan agama, tetapi lebih kepada akan wujudnya golongan manusia yang sanggup menggadaikan keselamatan negara. Jual maklumat, demi mencari sesuap nasi.  Mohon diperhalusi.

Rakyat Malaysia khususnya orang awam yang tidak mengetahui skop penugasan ATM terutamanya TLDM sebenarnya perlukan kesedaran dan pendedahan bahawa tugas di dalam menjaga dan mengawasi perairan negara bukanlah sesuatu yang mudah dan sebarang keperluan bagi perolehan sebarang aset-aset termoden bagi kelancaran tugas dan operasi TLDM di dalam menjaga dan memastikan kedaulatan peraiaran negara sentiasa terpelihara perlu disokong tanda sebarang prasangka negatif.  Perlu ditegaskan bahawa tugas menjaga perairan negara Malaysia yang boleh dikategorikan sebagai sebuah negara litoral ini yang luasnya meliputi 603,210 kilometer persegi, dua kali ganda keluasan muka bumi Malaysia iaitu 329,860 kilometer persegi bukanlah sesuatu yang boleh dianggap mudah dan hanya dilakukan sambil lewa.  Sebarang kelekaan pastinya membuka ruang untuk musuh bertindak!

Kedudukan geografi Malaysia yang dikelilingi oleh beberapa negara jiran yang mempunyai kelengkapan yang lebih maju pastinya menuntut TLDM turut memperoleh sistem persenjataan dan aset yang sama bagi mengimbangi kekuatan angkatan laut negara jiran dan setiap perolehan perlu dibuat dengan berhemah agar Malaysia tidak dikaitkan dengan isu memulakan perlumbaan senjata antara negara serantau.

Akhir sekali, perlulah difahami bahawa sebarang usaha untuk meningkatkan mutu peralatan dan memperlengkapkan persenjataan negara adalah salah satu tuntutan agama.  Perolehan aset-aset terkini seiring dengan kemajuan teknologi perlulah dilihat sebagai satu ibadah untuk mempertahankan maruah bangsa, agama dan negara.  Rasulullah S.A.W sendiri turut menitikberatkan persoalan peningkatan persenjataan negara Islam Madinah dan tidak pernah mengabaikan persiapan untuk berperang.  Di dalam Al-Quran turut menyatakan kepentingan bagi negara Islam di dalam membuat persediaan bagi menghadapi musuh yang bermaksud: “ Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang dengan persiapan itu kamu menggentarkan musuh Allah, musuh kamu dan orang selain mereka yang tidak mengetahui sedang Allah mengetahui.  Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan tidak akan dianiayakan”- An-Anfal:60. 

Di penghujung surah Al-Anfal ini juga dilihat turut memberi penekanan di dalam soal pengorbanan di dalam mengeluarkan perbelanjaan untuk memenuhi keperluan di jalan Allah.  Malah Allah SWT menegaskan supaya negara dan umat Islam tidak perlu khuatir dan bimbang dengan kesempitan wang untuk menyediakan peralatan bagi kegunaan di jalan Allah SWT kerana Allah SWT menjanjikan kecukupan dalam perbelanjaan meskipun harta yang ada telah dikorbankan untuk jalan Allah SWT.

Cadangan
Kini tiada lagi bayangan KD Sri Inderapura di Pangkalan TLDM Lumut seperti beberapa tahun yang lalu.  Bagi warga TLDM terutamanya anak-anak kapal KD SIP, kehilangan kapal tersebut semestinya meninggalkan kesan yang mendalam.  Andainya TLDM bersetuju untuk memperoleh sejumlah kapal-kapal baru bagi menggantikan KD SIP dan mengampuhkan keupayaan Skuadron Kapal Kawalan dan Perintah Pelbagai Guna (MPCSS), diharapkan KD Sri Inderapura akan dijadikan pilihan utama bagi nama kapal pengganti tersebut.  Keadaan semasa yang menyaksikan keperluan tugas-tugas skuadron MPCCS yang semakin bertambah memerlukan TLDM segera memperoleh kapal-kapal sokongan bagi mengimbangi beban yang terpaksa digalas oleh dua unit kapal pengangkut KD Mahawangsa dan KD Sri Inderapura yang telah berusia melebihi 30 tahun. 

Pada pandangan penulis secara peribadi, adalah wajar sekiranya TLDM memperoleh kapal pengangkut terpakai bagi memenuhi keperluan operasinya sementara menunggu masa yang sesuai untuk mendapatkan kapal-kapal yang baru.  Pembelian kapal terpakai lebih realistik bagi menyokong tugas-tugas semasa di samping menunggu pembinaan kapal pengangkut pelbagai guna yang sedang dirancang. 

Sebagai maklumat, proses perolehan kapal-kapal baru bukanlah sesuatu yang cepat yang mana kadangkala mengambil jarak masa di antara dua hingga lima tahun.  Proses pembinaan bermula hanya dengan sekeping besi dan pastinya kerja-kerja menukarkan sekeping besi menjadi sebuah kapal mengambil masa yang lama.  Setelah tamat fasa pembinaan, kapal akan diintegrasikan dengan sistem persenjataan dan peralatan yang berkaitan seterusnya akan diuji nilai dengan fasa pelayaran, pengujian sistem persenjataan dan sebagainya di lautan sebelum diserahkan kepada negara pembeli.

Walaupun kini, nama KD Sri Inderapura hanya tinggal nama di dalam lipatan sejarah, namun segala jasa dan sumbangan yang pernah dicurahkan oleh kapal pengangkut ini pastinya dikenang dan diingati kerana kapal ini banyak mengharumkan TLDM di persada dunia. Sejak ditauliahkan dalam perkhidmatan TLDM pada 31 Januari 1995, KD Seri Inderapura telah terlibat dalam pelbagai operasi dalam dan luar negara dengan jarak perjalanan menjangkau 1,332,945.4 batu nautika.









               


No comments:

Post a Comment