Isnin, 27 November 2017

JURUTERBANG WANITA TUDM

Leftenan Kolonel Norhana Abdul Manaf (tengah) bersama Mejar Teoh Siow Ling (kiri) dan Mejar Patricia Yapp Syan Yin bergambar di Markas Tentera Udara Labuan baru-baru ini. — Foto Bernama

Ruang udara yang terbentang luas tidak sedikit pun menggentarkan juruterbang wanita pertama Asia yang mengendalikan pesawat pejuang MiG-29 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Mejar Patricia Yapp Syau Yin, 41, dari Sandakan, Sabah yang berpengalaman selama 20 tahun dalam TUDM, keberanian dan kecekapannya mengendalikan pesawat pejuang itu menjadikannya setanding dengan juruterbang lelaki.
“Saya berpengalaman sebagai juruterbang pesawat pejuang selama lima tahun dari 2003 hingga 2007 sebelum ditugaskan menjadi jurulatih pesawat pelatih Pilatus PC-7 MKII di Kolej Tentera Udara Alor Setar, Kedah,” katanya yang sememangnya sejak kecil berminat dan berhasrat menerbangkan pesawat juang.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Hari Bersama Media sempena sambutan Hari TUDM ke-59 yang bertemakan “Kuasa Udara, Tonggak Kedaulatan Negara” di Pangkalan Udara Labuan baru-baru ini.
Katanya, sepanjang berkhidmat dalam TUDM, beliau pernah membawa dua jenis pesawat pejuang iaitu MB-339 dan MiG-29 dan kedua-dua pesawat berkenaan mempunyai kisah pahit tersendiri.
​​​​​​​”Detik cemas saya alami ketika menerbangkan MB-339 apabila enjinnya bermasalah dan mengeluarkan api, ketika itulah saya buat 'Mayday Call' yang mana orang akan beri keutamaan kepada kita untuk mendarat di landasan.
“Bagi MiG-29 pula ketika berada di ruang udara yang paling tinggi saya kekurangan oksigen dan waktu itu saya terlelap beberapa saat sebelum menekan butang khas oksigen, yang terus masuk ke ruangan kokpit,” kata Patricia.
Bagi juruterbang helikopter TUDM wanita pertama di Malaysia, Left Kol Norhana Abdul Manaf, 43, menyertai bidang yang didominasi lelaki adalah cabaran terbesar dalam hidupnya.
Berpengalaman dalam TUDM selama 23 tahun, beliau tidak menyangka cita-citanya untuk menjadi juruterbang helikopter tercapai.
“Alhamdulillah dengan galakan serta semangat daripada keluarga dan rakan-rakan seperjuangan menjadikan diri saya seorang yang berani dan tidak gentar apabila membawa helikopter ketika melaksanakan apa jua operasi TUDM,” katanya.
Beliau berkata peristiwa yang tidak dapat dilupakan semasa bertugas ialah apabila helikopter yang dikendalikannya ketika menyertai misi pertama operasi perkhidmatan doktor udara mengalami masalah teknikal.
Katanya heli​​​​​​​kopter yang membawa doktor dan bekalan perubatan ke kawasan pedalaman Orang Asli itu tidak dapat balik ke pangkalan dan mereka terpaksa bermalam di kawasan itu selama tiga hari sementara menunggu bantuan. — Bernama

Sumber Asal: http://www.themalaymailonline.com

HORNET TUDM

Juruterbang dan Jurusensor Pesawat Tempur Boeing F/A-18D Hornet TUDM

Penubuhan No 18 Skuadron bermula dari penubuhan satu tim pendahuluan yang terdiri daripada lapan pegawai/juruterbang serta 33 Juruteknik dengan pesawat F/A-18D Hornet.
Sejajar dengan matlamat penubuhannya, tugas utama No 18 skuadron selaku operational squadron adalah untuk mempertahankan ruang angkasa Malaysia daripada dicerobohi.  Sesuai juga dengan motonya “Menggempur Memintas”, pesawat F/A-18D yang dilengkapi dengan senjata peperangan udara yang canggih  memikul tugas mempertahankan negara dengan melaksanakan misi operasi udara offensif, misi serangan strategik serta misi tinjauan bersenjata, misi serangan udara dan penyelusupan siang atau malam,  misi serangan maritim siang atau malam dan misi  air superiority / air defence operations.

No 18 Skuadron telah mengharumkan nama Malaysia secara amnya dan TUDM khasnya kerana telah banyak menyertai operasi dan latihan bersama dengan negara asing serta mendapat pujian dan penghoramatan dari semua pihak, baik dari luar mahu pun di  dalam negara. Dengan sumbangan yang telah   diberikan oleh No 18  Skuadron  di  sepanjang  12  tahun sehingga kini, maka adalah bertepatan dan wajar skuadron ini dianugerahkan dengan Panji-panji Skuadron.

NO. 20 SKUADRON TUDM

 
Pesawat C-130 Hercules dari No. 20 Skuadron sedang membuat pendaratan.

No 20 Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia, bermula dengan penubuhan No 4 Skuadron pada 01 Mei 1980 di TUDM Sungai Besi. Peranan utama ketika itu adalah sebagai Skuadron Maritim melaksanakan operasi pengawasan maritim di kawasan perairan merangkumi keluasan ZEE dan kawasan kepentingan negara. Aset yang dimiliki merupakan 3 buah pesawat Patrol PC130H yang diperolehi dari Amerika Syarikat dan merupakan satu-satunya jenis pesawat pengangkut taktikal yang paling efektif dan mantap ketika itu.Berbagai-bagai operasi serta eksesais gabungan maritim telah disertai secara bersama dengan negara luar.
Dengan penambahan sebanyak 5 buah pesawat C130–30R pada tahun 1995 untuk pengangkutan udara strategik dan taktikal, khususnya untuk menyokong 10 Briged Para dalam melaksanakan tugas pengguguran anggota dan peralatan bagi operasi dan latihan taktikal secara solo ataupun formasi. Misi Bantuan Kemanusiaan, Misi Evakuasi Rakyat Malaysia dan penghantaran Bekalan Makanan merupakan diantara misi antarabangsa bagi membantu kerajaan Malaysia menyalurkan bantuan kepada negara-negara yang memerlukan. Peranan skuadron ini juga ditambah lagi dengan pengubahsuaian 2 buah pesawat PC 130H menjadi Pesawattanker. Pesawat ini  juga dikenali sebagai KC130H melaksanakan tugas-tugas pengisian minyak di udara(Air to Air Refuelling) ketika latihan dan operasi untuk pesawat perjuang seperti MiG-29N, Hawk dan F/A-18.
Sesuai  dengan cogan kata  TANPA  BATASAN, No 20  Skuadron  sentiasa komited dan berdedikasi dalam melaksanakan tugas-tugas latihan, operasi  ataupun misi antarabangsa. Sumbangan Skuadron ini adalah amat tepat diberi penghargaan dan dengan itu juga No 20 Skuadron TUDM adalah wajar diberi Penganugerahan Panji-Panji Skuadron.