Selasa, 25 September 2012

PKS Diploma Kelas 2012 – Pengambilan Terakhir Juruterbang TUDM Lepasan SPM

PKS Diploma Kelas 2012 – Pengambilan Terakhir Juruterbang TUDM Lepasan SPM
Majalah PERAJURIT edisi Julai 2012


Artikel ini diterbitkan ketika saya di semester akhir Diploma Kejuruteraan Elektronik di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra.  Untuk pengetahuan anda, sebelum tahun 2013, pengambilan Juruterbang TUDM hanya dalam kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan cemerlang.

Mereka perlu mengikuti program pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal - Aeronautik di Kolej Tentera Udara (KTU) Alor Setar selama tiga tahun termasuk latihan penerbangan kira-kira 11/2 tahun.  Program pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal - Aeronautik ini dijalankan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Bakal-bakal juruterbang ini dikenali sebagai Pegawai Kadet Siswa (PKS).  Setelah tamat pengajian diploma, PKS ini akan ditauliahkan dengan pangkat Lt. Muda TUDM dan memulakan latihan penerbangan asas di Pulatibang 1 dan 2 juga di KTU Alor Setar.

PKS Diploma kelas 2012 merupakan pengambilan terakhir Juruterbang TUDM bagi lulusan SPM.  Ia merupakan “intake” ke-18 sejak kaedah ini mula diperkenalkan pada tahun 1998.  Pada hari ini, bakal-bakal Juruterbang TUDM diambil dalam kalangan Pegawai Kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sahaja.
 

Rabu, 19 September 2012

Nuri Bakal Berganti


NURI BAKAL BERGANTI
Eurocopter EC-725 Cougar Bakal Diterima Disember 2012



Penantian demi penantian bilakah masanya helikopter Nuri (Sikorsky S61-A4) bakal berganti akan berakhir tidak lama lagi.  Bagi sebilangan rakyat Malaysia yang meminati bidang penerbangan ketenteraan / Millitary Aviation, kemasukan pesawat Eurocopter EC-725 Cougar ke dalam perkhidmatan TUDM yang dihebahkan bakal tiba secara berperingkat mulai Disember 2012 atau selewatnya Januari 2013 ini pastinya sesuatu yang ditunggu-tunggu.

Desakan bagi menggantikan pesawat Nuri yang digunakan sejak penghujung tahun 1960-an bertitik-tolak daripada nahas terakhir dan terburuk pesawat ini yang terhempas di kawasan pergunungan Genting Sempah pada tahun 2007 yang lalu.  Seramai enam anak kapal termasuk seorang pembantu juruterbang (Co-Pilot) wanita terkorban.

Seperti mana yang diketahui, setiap pembelian aset ketenteraan perlu melalui pelbagai kerenah biokrasi dan pembelian sejumlah 12 unit helikopter EC-725 Cougar ini turut tidak terlepas daripada dilanda kontroversi apabila harga yang ditawarkan Firma Eurocopter dicanangkan sebagai terlalu tinggi andai dibandingkan dengan beberapa buah negara lain yang turut menandatangani perjanjian pembelian pesawat ini.

Namun begitu, di dalam entri pada kali ini, tumpuan saya adalah kepada pesawat Nuri.  Mari bersama kita imbau kembali sejarah perkhidmatan legasi si burung besi ini.  Nuri – Gagah di angkasa!



Spesifikasi Pesawat

Krew pesawat: 2
Penumpang: 30-39
Kuasa dorongan: 2 unit Enjin Turboshaft
Enjin: General Electric T58-GE5
Kuasa: 1 enjin 1044 Kw (1400 Kuasa kuda)
Kelajuan: 232 km/h (125 knot)
Siling penerbangan: 3.810 m (12 500 kaki)
Berat kosong: 5.595 kg (12.335 lbs)
Berat maksima ketika berlepas: 9.299 kg (20.500 lbs)
Bilah rotor (Utama dan belakang): 5 bilah
Diameter rotor utama: 18.90 m (62.0 kaki)
Diameter rotor belakang: 3.23 m (10.6 kaki)
Panjang (fuselage): 17.16 m (56.3 kaki)
Panjang: 22.20 m (72.8 kaki)
Tinggi: 5.32 m (17.5 kaki)
Penerbangan pertama: 17 Ogos 1962
Jumlah  produksi : 116 unit


Sejarah NURI
Pesawat Sikorsky S-61A4 Nuri telah diperolehi oleh Tentera Udara DiRaja Malaysia pada penghujung tahun 1968.  Pesawat Nuri yang pertama diterima berkhidmat dalam perkhidmatan aktif bermula tahun 1969.  Pesawat Sikorsky S-61A4 Nuri ini berkemampuan membawa antara 30-39 orang penumpang termasuk krew pesawat.  Kuasa dorong pesawat ini dijana oleh 2 unit enjin General Electric T-58-GE5.

TUDM  suatu ketika dahulu, ketika era kebangkitan pengganas komunis telah menggunakan pesawat ini dengan berkesan sebagai elemen pesawat angkut taktikal dan pengangkutan logistik udara bagi menyokong keperluan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang berjuang menentang Komunis di belantara negara.

Oleh kerana Nuri mempunyai ruang yang lebih besar dan luas, mempunyai jarak penerbangan yang lebih jauh, maka pesawat ini lebih sesuai dalam tugas-tugas pengangkutan taktikal. Pesawat Alloutte yang diperolehi sebelum perolehan pesawat Nuri telah dijadikan sebagai pesawat pengiring bersenjata (Gunship Escort) bagi mengiringi pesawat Nuri ketika terbang di kawasan panas yang mana terdapat ancaman  Komunis.

Dengan keupayaan pesawat nuri ini dalam pelbagai operasi, TUDM telah membuat perolehan tambahan pesawat ini sehingga jumlah pesawat Nuri yang pernah dimiliki TUDM suatu ketika dahulu mencecah 40 unit.  Pesawat Nuri di dalam perkhidmatan TUDM telah menggunapakai nombor penant M23. Menjelang  tahun 1980-an, TUDM memiliki 4 skuadron yang mengoperasikan pesawat Nuri.  Berikut ialah skuadron-skuadron tersebut.

Skuadron Pesawat Nuri

No.10 Skuadron
Pangkalan TUDM Kuala Lumpur

No.5 Skuadron
Pangkalan TUDM Labuan

No.7 Skuadron
Pangkalan TUDM Kuching (Skuadron SAR/CSAR)

No.3 Skuadron
Pangkalan TUDM Butterworth (Skuadron SAR/CSAR)


Pesawat-pesawat Nuri selain terlibat dalam peperangan melawan irsugensi suatu ketika dahulu turut digunakan dalam pelbagai operasi penting, antaranya dalam beberapa operasi khusus ketika pembinaan penanda batu di Pulau Layang-layang. Operasi ini telah diberi nama Operasi Tugu. Pesawat Nuri juga suatu ketika dahulu pernah ditempatkan di atas kapal pendarat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dari kelas KD Raja Jarom yang kini telah dilucutkan tauliah dalam perkhidmatan TLDM.

Umumnya setiap pesawat Nuri  akan memiliki 3 orang anak kapal iaitu, juruterbang, pembantu juruterbang dan kuatermaster udara (KU) yang mana tugasnya secara umum ialah menyelia kemudahan penumpang pesawat ketika penerbangan.

Bagi tugas-tugas pengangkutan orang kenamaan (VIP) di Jabatan Perdana Menteri, TUDM telah memperoleh dua unit pesawat Agusta AS-61N-1 Nuri dari Firma Agusta (Agusta Westland) sebagai pengganti kepada seunit Helikopter NAS 322 Super Puma (Rujuk entri mengenai Tragedi Berdarah Super Puma) yang musnah dalan nahas di Sungai Petani, Kedah pada penghujung tahun 1994.

Pesawat AS-61N-1 Nuri (VIP) ini diterima dengan skema warna putih berjalur biru sepertimana pesawat-pesawat VIP yang lain. Pesawat VIP buatan Negara Itali ini merupakanpesawat Nuri VIP yang pertama dilengkapi dengan radar cuaca sebelum kesemua baki pesawat Nuri yang berperanan sebagai pesawat pengangkut taktikal (Sikorsky S-61A4 Nuri) turut dilengkapi dengan sistem ini secara berperingkat oleh Firma AIROD Sdn. Bhd.

25 April 1969    
Sebuah pesawat Nuri terhempas ketika operasi memburu Pengganas Komunis di Kuching, Sarawak. Empat orang  krew pesawat terkorban.

11 Mac 1972      
Sebuah pesawat Nuri terhempas di Hutan Gambang, Pahang yang mengorbankan empat orang krew pesawat.

27 April 1976    
Sebuah pesawat Nuri telah terhempas di Hutan Gubir, Perak akibat terkena tembakan senjata oleh Pengganas Komunis. 11 orang anggota tentera termasuk krew pesawat terkorban. Antara mereka yang terkorban:-
  • Kapten (U) Choo Yeok Boo PGB - No.7 Skuadron 
  • Kapten (U) Mustapha Kamal Bin Mohd Shafie KPK - No.7 Skuadron 
  • Lt. (U) Chung Ming Teck PTU (Kapten pesawat) - No.10 Skuadron
  • Lt. (U) Wan Munsif Bin Wan Salim KPK (Ko-Pilot) - No.10 Skuadron 
  • Sarjan Leong Yee Heang PTU – (Kuatermaster) - No.10 Skuadron
  • Mejar Haris Bin Rejab (MMLO Haadyai) 
  • Kapten Sulaiman Bin Abdullah (6 Briged)
  • Lt. Ibrahim Bin Zakaria (3 RAMD) 
  • Sarjan Khamis Bin Dolmat (3 RAMD)
  • L.Kpl Suandi Bin Saim - Skuadron X RGK (Komando T.D)
  • L.Kpl Kamarulzaman Bin Zakaria - Skuadron X RGK (Komando T.D)

19 Julai 1980
Sebuah helikopter Nuri terhempas berhampiran Bandaraya Ipoh,   Perak. Tetapi 18 penumpang termasuk krew pesawat ini  terselamat.

25 April 1981
2 anggota TUDM terbunuh sementara 13 orang yang lain tercedera apabila sebuah helikopter Nuri terhempas dipukul ribut kira-kira 30 batu nautika daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak

11 Julai 1981
Sebuah Helikopter Nuri terhempas berdekatan Batu Melintang, Perak. Dalam kejadian ini,11 penumpang termasuk anak kapal terselamat.

14 November 1989
21 orang terkorban dalam nahas pesawat Nuri di antara kawasan Gunung Gerah dan Gunung Bilah di sempadan Kelantan- Perak. Kesemua penumpang termasuk krew pesawat terkorban. 15 daripada penumpang pesawat tersebut merupakan anggota Pasukan Polis Hutan (PPH).

18 Disember 1989
Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Musataffa Awang dan Pemerintah Briged Ke-3 Infantri, Brigadier Jeneral Datuk Hasbullah Yussof merupakan antara 16 orang yang terbunuh dalam nahas Nuri berhampiran Sungai Lundu, Sarawak.

28 Ogos 1990
Sebuah pesawat Nuri bersama 9 anggota yang ketika sedang giat menjalani latihan untuk pertunjukan sempena sambutan ulang tahun Kemerdekaan terselamat dalam pendaratan kecemasan berdekatan Rawang, Selangor.

16 Januari 1991         
Sebuah helikopter Nuri dari Sungai Besi ke Kluang membuat pendaratan kecemasan di Kampung Parit Zin, Muar, Johor. 12 orang terselamat.

10 Jun 1991
6 orang anggota tentera termasuk anak kapal terkorban apabila helikopter Nuri yang dinaiki terhempas dan meletup di Banding, Perak kira-kira jam 1720.

11 Julai 1991
Lebih kurang sebulan selepas nahas Nuri di Banding, Perak, sebuah lagi Nuri turut terhempas di kawasan yang sama ketika mendarat. Dalam nahas ini 7 orang termasuk krew pesawat terkorban

16 Oktober 1996
2 orang terbunuh,3 hilang manakala 2 lagi terselamat apabila Nuri terhempas di Perairan Muka Head, Pulau Pinang.

19 Mac 1997
11 anggota TUDM terbunuh apabila 2 buah helikopter Nuri terhempas berdekatan Gunung Lumaku, Sipitang di Sabah.

5 Mac 2004
2 krew pesawat Nuri terbunuh manakala seorang lagi terselamat nahas Nuri terhempas di Kawasan Perumahan Taman Udara, Permatang Tengah, Butterworth,  Pulau Pinang dalam rutin penerbangan biasa.

30 Mac 2004
3 juruterbang terselamat semasa membuat pendaratan kecemasan di Bukit Kalam berdekatan Labuan, Sabah.

15 Ogos 2004
Sebuah pesawat Nuri bersama 10 orang penumpang terhempasa di Long Serian, Sarawak setelah dipukul angin lintang. Dalam kejadian ini, 3 maut manakala 7 lagi tercedera.

13 Julai 2007
6 anggota TUDM terbunuh apabila helikopter Nuri terhempas di Genting Sempah, Pahang. Mayat mereka ditemui 4 hari kemudian.

10 Julai 2008
Sebuah helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendarat cemas di sebuah kawasan lapang di Taman Sinar Mentari, Bedong, Gurun, Kedah semasa ia sedang dalam perjalanan balik dari Kem Gubir, Sik menuju Pangkalan Udara Butterworth.

Nahas Terbaru NURI
Pada 13 Julai 2007, sebuah pesawat Nuri telah terhempas di Kawasan Pergunungan Bunga Buah berkampiran Kawasan Pergunungan Genting Sempah. Dalam kejadian ini, 6 orang krew pesawat  termasuk seorang krew wanita (Co-Pilot) terkorban. Mereka yang terkorban ialah:-
×     Kapten Nor Azlan Termuzi (Juruterbang)
×     Kapten Nor Intan Asykeen Mohd Arof (Pembantu Juruterbang)
×     Sarjan (U) Khusnizam Ariffin (Kuartermaster Udara)
×     Sarjan (U) Mohd Azmie Md Yassin (Juruteknik Aviation)
×     Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias (Juruteknik Airframe)
×     Laskar Udara Muhammad Ridzuan Ahmad (Juruteknik Enjin)

Faktor keadaan muka bumi yang bergunung-ganang menyebabkan pihak penyelamat mengambil masa hampir seminggu dalam usaha mencari dan menyelamat. Nahas pesawat Nuri ini telah mendapat pelbagai reaksi dan pandangan negatif pelbagai pihak yang sangsi dan mempertikaikan  keupayaan pesawat Nuri ini dalam menjalankan tugasnya sebagai helikopter pengangkut kelas sederhana bagi TUDM.

Setelah nahas Nuri ini, satu pasukan penyiasatan telah ditubuhkan. Pasukan ini telah dianggotai oleh 4 orang Pegawai TUDM yang mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang masing-masing mengenai pesawat Nuri. Mereka ialah:-
×     Lt. Kolonel Syed Islam Bin Shahajam
×     Lt. Kolonel Dr. Zuki Bin Othman
×     Mejar Yee Ching Choy
×     Mejar Mohd Noorafzanidzam Frienny Bin Salleh

Setelah beberapa minggu siasatan dijalankan dari pelbagai aspek, pasukan ini telah membentangkan laporan hasil penyiasatan mereka. Antara intipati laporan tersebut adalah seperti berikut: (dipetik dan diubahsuai tanpa mengubah maksud asal dari Majalah Perajurit).

Sebuah pesawat Nuri, pada tarikh 13 Julai 2007, jam 0924 telah berlepas dari Pangkalan TUDM Kuala Lumpur menuju ke Pangkalan TUDM Kuantan, Pahang. Pesawat malang ini telah menghala ke Batu Caves dan kemudiannya dijangka melalui kawasan Pergunungan Genting Sempah.

Pada jam 0936, pesawat telah membuat panggilan terakhir ke menara kawalan yang mana kedudukan pesawat malang itu ketika panggilan terakhir itu ialah di ruang angkasa Batu Caves, Selangor. Keadaan cuaca ketika itu ialah hujan lebat dan berkabus tebal  yang menyebabkan jarak penglihatan  terhad dari 2 kilometer merupakan salah satu faktor penyumbang nahas tersebut.

Keadaan  cuaca buruk, bentuk muka bumi yang berbukit-bukau di laluan penerbangan adalah sama sekali tidak bersesuaian dengan penerbangan pesawat aras rendah. Di dalam percubaan untuk melepasi kawasan pergunungan Genting Sempah, Helikopter malang tersebut telah melanggar beberapa kanopi pokok (tree-top) sebelum terhempas yang mana setelah siasatan, pasukan penyiasatan menyimpulkan faktor ini merupakan penyebab utama pesawat tersebut terhempas.

Pasukan penyiasatan juga mendapati tiada bukti yang kukuh untuk mengaitkan berlakunya masalah teknikal yang menyebabkan nahas. Kenyataan ini diperkukuhkan lagi dengan laporan hasil siasatan oleh Bahagian Kejuruteraan TUDM. Profil penerbangan pesawat tersebut serta analisis terhadap beberapa komponen mendapati tiada masalah teknikal yang berlaku.

Untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai peranan Nuri semasa era pemberontakan pengganas Komunis (Parti Komunis Malaya - PKM), anda boleh berkunjung ke laman blog Mejar (B) Nor Ibrahim Bin Sulaiman TUDM, seorang mantan juruterbang Nuri yang terlibat secara lansung semasa era pemberontakan Komunis beberapa dekad yang lalu.  Blog beliau ialah: http://xnuripilot.blogspot.com.

Selain itu, terdapat juga sebuah entri mengenai pesawat Nuri yang ditulis oleh seorang pegawai TUDM, Kolonel Toharuddin Abdul Rasid TUDM di dalam blog beliau:  http://coltoras1959.blogspot.com di bawah Tajuk 290: Nuri Yang Perkasa Dan Berjasa.