Sunday, 9 September 2012

SAS & Insiden Prices Gate : Majalah PERAJURIT April 2012


SAS DAN INSIDEN PRINCES GATE
Majalah PERAJURIT Edisi April 2012


Artikel ni telah diterbitkan Majalah PERAJURIT edisi April 2012 lepas.  Tapi sayangnya tak ada nama aku sebagai penulis.  Ada sedikit kesilapan teknikal.  Artikel ni diterbitkan dalam kolum Operasi Khas dan lebih ‘menarik’ tajuk artikel ni diletakkan di cover depan majalah.  Bangga den! hahahaha. 

Dari segi isi kandungan, boleh dikatakan tiada sebarang pengubahsuaian, namun terdapat sedikit tambahan maklumat oleh pihak editorial.  Foto yang digunakan pun adalah foto yang diusahakan sendiri tim editorial majalah.   
Idea untuk menulis artikel ni?  Macam biasa, aku suka baca keratan akhbar lama yang disimpan oleh Pak Su aku (En. Johari Bin Rejab) yang suka kumpul keratan akhbar tentang tentera selain pembaca setia majalah Perajurit sejak 1993.  Aku terjumpa artikel tentang SAS dan Insiden Princes Gate dan aku pun mengolah kembali tulisan tersebut dan dihantar sebagai artikel kepada majalah Perajurit. 


Ubah struktur ayat, ayat aktif aku pasifkan, ayat pasif aku aktifkan.  Kena buat perubahan pada struktur ayat, tapi tak ubah maksud asal.  Lagipun tak beretika kalau ambik semua poin sebijik.  Gambar di bawah ni keratan akhbar Utusan Malaysia 22 Disember 1994 yang mengilhamkan aku menulis artikel ni.




Ni la keratan akhbar tentang SAS dan Insiden Princes Gate yang mengilhamkan aku menulis artikel tentang SAS ni.


Jom baca!


Rejimen 22 Special Air Service Britain atau lebih dikenali sebagai SAS merupakan sebuah pasukan komando elit Tentera British yang begitu sinonim dalam pembentukan unit melawan keganasan moden.  Ia bermula dengan penubuhan pasukan Counter Revolutonary Warfare Wing- CRW yang ditubuhkan pada tahun 70-an.  


Pasukan CRW ini berperanan menyediakan ketumbukan kawalan rapat dan elemen penggempur melawan keganasan yang ketika itu merupakan satu keperluan bagi pihak Barat.  Pasukan komando dengan moto Who Dares Wins (Siapa Berani Menang) ini menjadi terkenal dan secara tidak lansung telah menjadikan SAS sebagai ‘household names’ dalam gerakan melawan keganasan selepas kejayaan operasi menyelamat dalam insiden Princes Gate.  Apakah yang berlaku dalam Insiden Princes Gate ini?


Segalanya bermula apabila sekumpulan pengganas seramai enam orang dari Barisan Revolusi Demokratik Arabistan menawan Kedutaan Iran di Princes Gate, London pada 30 April 1980.  Kumpulan pengganas ini bersenjatakan Submesingan Scorpion, Pistol Automatik Browning dan sejumlah bom tangan buatan Soviet.  Pemimpin kumpulan pengganas tersebut, Awn Ali Mohammed, 27 yang menggunakan nama kod ‘Salim’ membuat tuntutan pembebasan 92 orang Arab yang ditahan di penjara Iran selain kemudahan untuk melarikan diri. 


Sekiranya tuntutan tersebut tidak dipenuhi, mereka mengugut untuk membunuh kesemua tebusan seramai 22 orang yang ditawan di dalam bangunan kedutaan setinggi lima tingkat itu.  Pasukan Polis Britain yang terdiri daripada pegawai dan anggota Pasukan C13- Unit Anti Pengganas, Penembak tepat (Sniper) dan Cawangan Sokongan Teknikal Scotland Yard bertindak segera dengan mempuat kepungan di bangunan kedutaan di nombor 16, Princes Gate itu. 


Kehadiran ratusan anggota polis tersebut bagaimanapun hanyalah sekadar ‘wayang’ semata-mata.  Ia bertujuan untuk mempengaruhi psikologi dan melengah-lengahkan masa pihak pengganas bagi memberi ruang kepada SAS untuk beraksi.


RED & BLUE TEAM
Sekumpulan 24 anggota dikenali sebagai ‘Red Team’ dari Skuadron Sabre SAS dengan seorang Kapten telah diterbangkan dari Hereford bagi melaksanakan misi menggempur pengganas tersebut.  Setelah diteliti dari pelbagai aspek, pihak berkuasa Britain mendapati gerakan menyelamat tidak perlu dilakukan serta merta dan satu strategi serangan secara mengejut telah diatur.  ‘Red Team’ diletakan sebagai ‘Standby team’ sebagai persediaan melancarkan gerakan menyelamat.


Pada tengahari, 2 Mei 1980, sekumpulan anggota SAS berkekuatan 25 orang dikenali sebagai ‘Blue Team’ telah dihantar untuk membantu ‘Red Team’.  Ketika proses rundingan antara pengganas dan kerajaan Britain dilakukan, kedua-dua pasukan tersebut mengambil inisiatif mengkaji setiap aspek kedudukan bangunan itu sebagai persediaan untuk menggempur.  Pasukan M15 Britain yang bertindak sebagai unit risikan telah memasukkan mikrofon di dalam serombong asap dan di tepi tingkap bangunan bagi mengesan kedudukan pengganas serta tawanan.


PENGGANAS MULA BERTINDAK!
Pada 5 Mei 1980, setelah keengganan pihak berkuasa Britain tunduk kepada tuntutan yang dibuat pengganas tersebut serta ketiadaan orang tengah berbangsa Arab, seorang tebusan, Abbas Lavasani, Ketua Bahagian Akhbar Kedutaan Iran telah menjadi korban pertama. Beliau telah ditembak mati  dan mayatnya dicampak keluar.


Keaadaan yang semakin genting menyebabkan Sir David McNee, Pesuruhjaya Polis Britain memaklumkan bilik taklimat Pejabat Kabinet (COBRA) mengenai penyerahan kawalan kepada SAS.  COBRA merupakan nama panggilan bagi mesyuarat peringkat kerajaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Britain ketika itu, Margaret Thatcher yang turut dianggotai Kementerian Pertahanan Britain, M15, M16 dan SAS.

Rentetan pembunuhan tebusan tersebut, sebuah operasi dikenali sebagai ‘Operasi Nimrod’ telah dirangka oleh Komander Rejimen Skuadron B SAS, Leftenan Kolonel Mike Rose yang telah mengambil alih kawalan dari  Pesuruhjaya Polis Sir David McNee.


TAKTIK BERKESAN PENENTU KEJAYAAN
Di dalam setiap operasi memerangi pengganas, elemen kejutan merupakan satu elemen yang penting bagi mengkucar- kacirkan pihak musuh.  Dalam Operasi Nimrod ini, Red Team telah menyerbu masuk ke dalam bangunan kedutaan tersebut melalui bumbung manakala Blue Team menerajui serangan di tingkat bawah dan tingkat satu. 


Empat orang anggota Red Team menggunakan tali untuk menyerbu tingkat dua manakala kumpulan lain melakukan serangan di tingkat tiga.Serangan bermula dengan tembakan gas-gas pemedih mata  ke dalam bangunan kedutaan tersebut.  Dalam serbuan tersebut, Truper SAS menggunakan senjata Submesingan Heckler & Koch MP5K sebagai senjata utama dan Stun Grenades selain Pistol Browning sebagai senjata sekunder.


Modus operandi yang digunakan  oleh truper SAS semasa operasi menyelamat di dalam bangunan kedutaan ialah dengan memecahkan semua pintu di dalam bangunan kedutaan tersebut dan mencampakkan Stun Grenades, menunggunya sehingga meletup dan kemudiannya menyerbu masuk ke dalam bilik tersebut.  Taktik sebegini digunakan bagi menghadkan penglihatan pengganas dan memudahkan operasi menyelamat.  

Pengganas pertama ditembak mati oleh Truper SAS yang bersenjatakan Submesingun MP5 ketika sedang bergelut dengan seorang pengawal keselamatan di tingkat satu bagunan tersebut. Tembakan tepat mengenai kepala dan dada pengganas tersebut.  Pengganas kedua pula ditembak di dalam bilik teleks bangunan kedutaan tersebut. 


Tembakan Truper SAS yang menggunakan Pistol Browning setelah Submesingun MP5- nya tidak berfungsi tepat mengenai bahagian kepala pengganas tersebut.  Pengganas yang terbunuh ini sebelumnya berjaya meloloskan diri daripada Truper SAS yang merempuh masuk melalui tingkap di tingkat dua.


Di bilik teleks inilah sebahagian besar tawanan disembunyikan.  Apabila bilik tersebut diserbu masuk Truper SAS, seorang pengganas telah menyembunyikan dirinya bersama kumpulan tebusan.  Pengganas tersebut dikenalpasti dan ditumpaskan dengan tangannya masih memegang sebutir bom tangan buatan Soviet.


Pengganas keempat pula dibunuh di tangga ketika sedang melarikan diri bersama tebusan.  Hanya seorang sahaja pengganas yang terselamat di dalam operasi tersebut.  Dua orang pengganas ditembak mati di bilik teleks, seorang di pintu hadapan bangunan itu dan seorang lagi di ruang pejabat bahagian belakang kedutaan berkenaan.  Awn Ali Mohammed ditembak mati di balkoni, tingkat pertama bangunan kedutaan tersebut.


MISI DISELESAIKAN
Di akhir operasi, Pasukan SAS berjaya menyelamatkan 21 orang tebusan dengan seorang mengalami kecederaan ringan dan seorang pengganas berjaya ditawan.  Pasukan SAS tidak mengalami sebarang kecederaan anggotanya.  Kejayaan Operasi Nimrod ini membuka mata umum mengenai keupayaan sebenar Rejimen Elit Tentera British itu.  Operasi ini mendapat liputan meluas media Britain dan kejayaan SAS ini merupakan sesuatu yang amat membanggakan. 


Peristiwa penuh dramatik ini telah digambarkan di dalam buku The SAS At Close Quaters hasil karya Steve Crawford, seorang pakar ketenteraan dan bekas kakitangan Perkhidmatan Risikan Britain.  Kejayaan operasi ini juga membawa kepada penghasilan filem berjudul Who Dares Wins lakonan Lewis Collin dan Richard Widmark.


Peristiwa penawanan Bangunan Kedutaan Iran ini merupakan salah satu daripada puluhan contoh kejayaan SAS di dalam operasi sejak Perang Dunia Kedua sehinggalah penglibatan mereka di dalam Perang Falklands 1982 dan Perang Teluk 1991.


RUJUKAN:-
Prices Gate bukti keupayaan SAS- Keratan akhbar Utusan Malaysia,
Khamis 22 Disember 1994.
MELAWAN KEGANASAN MODEN KEPERLUAN SEMASA ULK
N.S Shah- PERAJURIT Mac 2009.
‘THE IRANIAN EMBASSY SIEGE’ - 16 PRINCES GATE, LONDON
Operation Nimrod - The Iranian Embassy Siege

No comments:

Post a Comment