Wednesday, 30 January 2013

NAHAS BULLDOG B-100 TUDM



Di dalam ruangan Surat Pembaca majalah PERAJURIT edisi Oktober 2011 yang lalu, saya telah merakamkan sedikit coretan mengenai Tragedi Berdarah Super Puma di Sungai Petani, Kedah pada penghujung tahun 1993.  Artikel tersebut menceritakan sebuah nahas yang melibatkan sebuah helikopter untuk penerbangan VIP milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) iaitu Super Puma NAS-332 bernombor M36-01 dari No.10 Skuadron buatan Firma Industri Pesawat Terbang Nusantara (IPTN) dari Indonesia.

Tujuan saya mengimbau kembali tragedi nahas udara yang melibatkan beberapa pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM)  suatu ketika dahulu bukanlah bertujuan untuk membuka kelemahan, kekurangan ataupun merendahkan martabat organisasi TUDM pada pandangan masyarakat umum khasnya, tetapi sekadar untuk berkongsi informasi dengan para pembaca. Saya mempunyai pandangan dan alasan tersendiri yang membawa kepada penulisan artikel mengenai nahas pesawat-pesawat TUDM ini.  Niat saya hanyalah satu, untuk memperingati kembali mangsa-mangsa nahas tersebut.  Selain itu saya juga mengharapkan agar sekiranya ada dalam kalangan para pembaca yang terbaca merupakan sahabat handai, rakan seperjuangan mahupun sanak saudara anggota yang terkorban, bersamalah kita doakan agar roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Dengan penulisan ini diharapkan akan dapat mengingatkan kembali kepada mereka yang telah tiada di sisi.

Di dalam artikel kali ini pula, saya akan menceritakan serba-sedikit maklumat mengenai nahas yang melibatkan sebuah pesawat latihan yang boleh dikatakan agak low profile di dalam perkhidmatan TUDM kerana agak kurang dikenali umum dan kurang mendapat perhatian media ketika itu.  Tidak seperti ‘rakannya’ iaitu pesawat Pilatus PC-7 yang boleh dikatakan agak popular dengan tugasnya sebagai pesawat latihan asas dan utama milik TUDM.  Nahas pesawat ini juga menarik perhatian saya kerana nahas pesawat ini melibatkan dua juruterbang masing-masing daripada TUDM dan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD). 

Pesawat yang dimaksudkan oleh saya ialah pesawat latihan Bulldog B-100.  Bagi warga TUDM era 1990-an pastinya berpeluang melihat dan mendekati pesawat ini terutama para juruterbang yang pernah menerbangkannya dan juruteknik-juruteknik yang menyelenggarakannya.  Pesawat ini digunakan sebagai medium latihan asas bagi melatih bakal-bakal juruterbang  TUDM dan ATM sebelum beralih kepada pesawat latihan Pilatus PC-7. 

Sejarah Ringkas Bulldog B-100
Pesawat Bulldog B-100 merupakan sebuah pesawat latihan asas dua tempat duduk buatan sebuah firma Scottish Aviation dari Scotland.  Dua unit prototaip pesawat ini yang dikenali dengan kod nama G-AHEX, c/n 001 mula dibangunkan pada 19 Mei 1969.  Pesawat prototaip kumpulan kedua pula dengan nama kod G-AXIG, c/n 002 mula diterbangkan buat kali pertama pada 14 Februari 1971.  Kedua-dua prototaip pesawat ini akhirnya membawa kepada pengenalan pesawat dengan nama Bulldog B-100 (siri 100) yang terdiri daripada pelbagai varian antaranya Bulldog B-102, 104, 108 dan beberapa lagi.  Pesawat Bulldog siri 100 pengeluaran pertama mula melakukan penerbangan sulung pada 22 Jun 1971.  Sejumlah 98 unit pesawat ini telah ditempah dan dioperasikan oleh Malaysia, Sweden dan Kenya dan Malaysia mengikut sumber dikatakan membuat perolehan sebanyak 15 unit pesawat ini pada tahun 1972.   


Pesawat ini digunakan sebagai pesawat latihan asas penerbangan di Pusat Latihan Terbang 1 (PULATIBANG 1) di Kepala Batas, Alor Setar, Kedah.  Setelah beberapa dekad mencurahkan khidmat bakti, pesawat Bulldog telah ditamatkan perkhidmatannya dan kini, pesawat ini dijadikan monumen dan boleh dilihat di Kolej Tentera Udara (KTU), Kepala Batas, Alor Setar dan juga di Muzium TUDM di Sg. Besi.

Nahas Bulldog di Pendang, Kedah


21 September 1995, kira-kira  17 tahun yang lalu, jam 1.20 petang,  sebuah pesawat latihan Bulldog B-100 bernombor penant M25-06, yang berpangkalan di Pangkalan Udara Alor Setar telah berlepas untuk sesi penerbangan latihan.  Pesawat latihan tersebut diterbangkan oleh dua orang juruterbang iaitu Allahyarham Mejar Kamarudin Ibrahim, 36 yang merupakan jurulatih penerbangan TUDM dari Pusat Latihan Terbang 1 (Pulatibang 1) dan Allahyarham Leftenan Man Effandi Abdul Rahman,27. 


Leftenan Man Effandi merupakan salah seorang daripada 10 orang pegawai dari Tentera Darat Malaysia (TDM) yang terpilih menganggotai tim nukleus juruterbang perintis penubuhan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) pada tahun 1993.  Beliau dan rakan-rakannya yang berpangkat Leftenan dan Leftenan Muda dari pelbagai kor dan rejimen seperti Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) dan Rejimen Gerak Khas (RGK) yang telah terpilih mula mengikuti kursus asas penerbangan di Pusat Latihan Terbang di Alor Setar, Kedah sejak bulan  Februari tahun yang sama.


Kampung Kerkau
Setelah hampir 50 minit berada di ruang angkasa, pesawat malang tersebut telah dilaporkan terhempas di kawasan sawah di Kampung Kerkau, Pendang, Kedah.  Kampung Kerkau yang terletak di dalam Mukim Guar Kepayang merupakan sebahagian daripada kampung-kampung di dalam daerah Pendang, Kedah.  Kampung ini terletak kira-kira 7 kilometer dari pekan pendang dan hampir 40 kilometer ke Kolej Tentera Udara (KTU) yang menempatkan Pusat Latihan Terbang 1 (PULATIBANG 1) di Kepala batas, Alor Setar.  Kedudukan kampung ini hanya  kira-kira 10 kilometer daripada kampung halaman penulis di Pendang, Kedah.

Pesawat Bulldog tersebut dikatakan membuat panggilan pertama dengan menara kawalan kira-kira jam 1.23 petang, setelah tiga minit berlepas. Kali terakhir pesawat tersebut berhubung dengan menara kawalan ialah pada jam 1.50 petang.   Selepas cubaan menara kawalan untuk berhubung dengan pesawat tersebut kemudiannya gagal, dua buah pesawat telah diatugerakkan bagi misi rondaan bagi mengesan kedudukan pesawat tersebut pada jam 2.08 petang.  Pada jam 2.13 petang, pihak polis telah menghubungi TUDM Alor Setar untuk melaporkan kejadian pesawat tersebut terhempas dan status kedua juruterbangnya.


Lembaga Siasatan Nahas
Sudah menjadi kebiasaan lembaga siasatan nahas akan ditubuhkan selepas berlakunya sesuatu nahas pesawat.  Oleh itu, sebuah lembaga siasatan nahas telah ditubuhkan bagi menyiasat tragedi pesawat Bulldog B-100 yang mengorbankan kedua juruterbangnya telah diketuai oleh Lt. Kolonel Salleh Bin Ahmad dari Institut Latihan Ikhtisas Penerbangan, Jurutera TUDM- Mejar Sharif  Maanshah, Juruterbang TUDM- Mejar Ahmad Zainuddin Ahmad Zakaria dan seorang pegawai perubatan.  Siasatan awal oleh lembaga siasatan ini mendapati tidak berlaku sebarang kerosakan enjin pada pesawat semasa berada di udara.  Pesawat tersebut juga dikatakan diterbangkan pada kelajuan normal dan terhempas secara mendatar berdasarkan keadaan pesawat di tempat kejadian.

Seorang saksi yang berada berhampiran lokasi nahas menyatakan bahawa beliau terdengar bunyi enjin pesawat tersebut agak pelik kerana ianya berbunyi dan kemudiannya tidak berbunyi seolah-olah tersekat-sekat.  Seorang lagi saksi yang ketika itu sedang bekerja di sawahnya menyatakan pesawat tersebut berpusing beberapa kali di udara dengan muncung pesawat menghala ke bawah.  Pesawat tersebut kemudiannya terhempas di atas batas tetapi tidak meletup.  Kedua-dua saksi yang kemudiannya mendekati pesawat tersebut melihat kedua-dua juruterbang tersebut mengalami kecederaan parah di muka, kepala dan dada akibat impak hentakan yang kuat akibat hempasan tersebut.  Kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian.

Oleh kerana pesawat tidak mempunyai kotak hitam dan tiada juruterbang yang terselamat menyebabkan lembaga siasatan terpaksa mengambil masa yang agak lama kerana proses siasatan memerlukan penelitian dan kajian terhadap bukti-bukti yang ditinggalkan.  Selain mendapatkan kertas simulasi pesawat, lembaga siasatan nahas tersebut juga turut mengkaji keadaan pesawat setelah terhempas untuk mengetahui bahagian badan pesawat yang mula menyentuh tanah semasa terhempas untuk mengetahui paras ketinggian pesawat di udara sebelum nahas.  Lembaga siasatan tersebut hanya boleh membuat rumusan mengenai punca nahas pesawat Bulldog tersebut setelah rujukan terhadap bukti diselesaikan.  Penulis tidak mempunyai maklumat tepat berkaitan keputusan lembaga siasatan tersebut samada tragedi tersebut berpunca daripada kegagalan sistem mekanikal pesawat, kecuaian juruterbang ataupun faktor-faktor lain.  Faktor keadaan cuaca pada pandangan penulis berkemungkinan tidak mempengaruhi nahas pesawat ini kerana keadaan cuaca ketika nahas tersebut adalah baik dan cerah.



Doakan Mereka
Juruterbang TUDM hanyalah insan biasa dan mereka juga tidak terlepas dari melakukan sebarang kesilapan.  Jika berlaku sesuatu nahas yang melibatkan pesawat-pesawat TUDM, maka akan mula kedengaran suara-suara sumbang yang menuduh juruterbang TUDM sebagai tidak cekap dan profesional, pesawat sudah uzur dan tidak sesuai diterbangkan, juruteknik tidak berkemampuan menyelenggara pesawat dengan baik, penggunaan alatganti yang tidak berkualiti dan pelbagai lagi.  Walau apa pun punca kemalangan yang dirumuskan oleh lembaga siasatan nahas, mereka yang telah pergi tidak mungkin kembali lagi. 

Bagi segelintir juruterbang TUDM era 1995, tragedi tersebut mungkin masih lagi segar di dalam ingatan kerana mungkin detik-detik kehilangan rakan seperjuangan mereka akibat nahas pesawat tersebut seakan-akan sukar dipercaya.  Masakan tidak, ada di antaranya yang baru setengah jam bergurau di crew room, ketawa pun belum habis, gusi pun belum lagi kering, tiba-tiba dikejutkan dengan berita kehilangan rakan seperjuangan.  Sesuatu yang mungkin meninggalkan kesan yang agak mendalam. Ada juga dalam kalangan mereka yang telah pergi ini merupakan sahabat, saudara yang sama-sama menjalani latihan kadet, tinggal satu blok, satu bilik ataupun sama-sama menerbangkan pesawat sebagai Pilot dan Co-Pilot.  

Kini pesawat Bulldog B-100 tidak lagi berkhidmat di dalam perkhidmatan TUDM sebagai salah satu varian pesawat latihan asas TUDM.  Seunit pesawat ini telah dijadikan sebagai monumen di Kolej Tentera Udara (KTU), Alor Setar, Kedah.  Walaupun tragedi ini telah berlalu hampir 16 tahun yang lalu namun bagi insan yang rapat dan dekat terutamanya keluarga serta balu kedua-dua juruterbang ini, pastinya tragedi ini merupakan sesuatu yang tidak dapat dilupakan.  Bagi sahabat handai serta rakan-rakan seperjuangan kedua juruterbang ini iaitu daripada Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), tragedi ini telah menghilangkan salah seorang rakan di dalam kehidupan mereka.  Marilah bersama-sama kita panjatkan doa agar roh kedua-dua juruterbang ini dirahmati Allah dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.  Al-fatihah.



No comments:

Post a Comment