Khamis, 13 September 2012

Northrop 5-5E TUDM


Nostalgia Pesawat Pemintas Northrop F-5E Tiger II –
Pesawat Supersonik Pertama TUDM
Andai diberi pilihan, antara pesawat pejuang yang dimiliki TUDM, pesawat mana yang akan saya pilih ialah pesawat ini.  Kenapa?  Pada saya, pesawat ini merupakan antara pesawat yang begitu nostalgik di dalam perkhidmatan TUDM.  Pesawat Northrop F5 telah diperolehi TUDM dalam beberapa variasi antaranya, Northrop F-5E Tiger II, Northrop F-5E Tigereye, Northrop F-5F.


Pesawat Berkuasa Supersonik Pertama TUDM
 
Pesawat Northrop F-5E Tiger II


Pesawat Northrop F-5E merupakan pesawat supersonik yang dibina oleh Firma Northrop Corporation.  Pesawat F-5 buat pertama kalinya diterbangkan pada 31 julai 1963 di Pangkalan Tentera Udara Edword, California, Amerika Syarikat. Pesawat Northrop F-5 telah dikeluarkan dalam pelbagai versi iaitu versi F-5A, F-5B, F-5E dan F-5F. Pesawat model RF-5F pula merupakan pesawat versi peninjau manakala versi lain-lain merupakan versi latihan (2 tempat duduk) dan pesawat tempur taktikal (1 tempat duduk).

 Logo dan nombor penant pesawat F-5E Tiger II.  Dirakam semasa Hari Terbuka TUDM sempena Jubli Emas TUDM di KTU Alor Setar pada tahun 2008.

Juteknik F-5E Tiger II sedang menanggalkan bahagian-bahagian komponen pesawat pada hari terakhir pameran.


Hampir 2600 unit pesawat Northrop ini yang diproduksikan oleh Firma Northrop dan sebahagian pesawat ini dibina dengan kebenaran berlesen oleh Firma Northrop kepada Switzerland, Kanada, Belanda, Sepanyol, Republik Korea dan Republik rakyat China.  F-5 merupakan pesawat yang lincah, mudah dikendalikan, mempunyai rekabentuk aerodinamik termaju dan kos untuk pengoperasian pesawat ini adalah rendah. Pasukan Tentera Udara Amerika (USAF) merupakan penerima awal pesawat F-5 ini iaitu pada tahun  1964 manakala Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) merupakan penerima terakhir pada tahun 1987.


Keluarga Northrop F-5 Dalam TUDM
Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) telah membuat perolehan awal pesawat F-5 dari jenis Northrop F-5E Tiger II dan 2 unit pesawat F-5B pada tahun 1972. Pesawat F-5E Tiger II merupakan pesawat pejuang atau pemintas 1 tempat duduk manakala pesawat F-5B merupakan pesawat latihan, 2 tempat duduk. Pesawat Northrop yang diperolehi ini merupakan pesawat supersonik yang pertama dimiliki TUDM.

Mengikut sumber yang boleh dipercayai, pakej pembelian pesawat ini-pesawat Northrop ini melibatkan kos sebanyak USD 39.24 Juta. Perolehan pesawat F-5B Freedom Fighter terpaksa dibuat bagi menampung keperluan latihan bakal-bakal juruterbang F-5E Tiger II sebelum mereka mampu menerbangkan pesawat tersebut secara solo. Pesawat-pesawat F-5E Tiger II dan F-5B Freedom Fighter ini turut digandingkan bersama dengan pesawat Sabre Mk.32 Avon TUDM yang mana gandingan ketiga-tiga variasi pesawat ini telah membentuk No.12 Skuadron, Pangkalan TUDM Butterworth.
  
Pesawat-pesawat Northrop F-5E Tiger II TUDM ini telah dilengkapkan dengan beberapa jenis persenjataan, antaranya, meriam berputar M39 berkaliber 20mm yang merupakan persenjataan utama bagi pesawat ini. Bagi peluru berpandu anti pesawat pula, pesawat ini dilengkapkan dengan sistem misil AIM9P Sidewinder Security Addistance Missile, manakala bagi misi serangan dari udara ke permukaan, pesawat ini berkeupayaan membawa sehingga 4 unit bom tanpa panduan seberat 1000 paun atau 4 pelancar roket tanpa panduan Bristol CRV-7 buatan Kanada.


Bagi menambahkan keupayaan pesawat untuk terbang pada jangkauan jarak yang lebih jauh, pesawat ini turut dilengkapi dengan sistem tangki bahan bakar luaran yang merupakan peralatan standart bagi pesawat F-5E Tiger II. Bagi memantapkan sistem persenjataan udara-udara, TUDM telah membuat perolehan tambahan peluru berpandu AIM-9P4 Sidewinder.


Pada April 1981, perolehan tambahan pesawat F-5F Tiger II sebanyak 4 unit telah dibuat. Pesawat ini secara asasnya mempunyai dimensi yang sama dengan model pesawat F-5E Tiger II, tetapi terdapat sedikit perbezaan dari segi panjang pesawat. Panjang F-5F Tiger II adalah lebih panjang berbanding model F-5E bagi menempatkan kokpit kedua / tandem seat bagi menempatkan jurulatih penerbangan.

Northrop F-5F Tiger II bagi melatih bakal Juruterbang Northrop F-5E Tiger II


Berbanding model F-5B Freedom Fighter, model F-5F Tiger II mempunyai keupayaan yang lebih baik dan merupakan gandingan mantap bersama pesawat Northrop F-5E Tiger II. Dari segi sistem radar, terdapat sedikit perbezaan antara pesawat F-5E dan F-5F. Bagi Pesawat F-5E ia dilengkapkan dengan sistem radar AN/APQ 153 manakala pesawat F-5F dilengkapkan dengan radar AN/APQ 157. Selain F-5F, sebuah lagi pesawat F-5E Tiger II turut diperoleh bagi menggantikan sebuah pesawat model sama yang  terhempas.


Sesuatu yang menarik mengenai seunit pesawat baru ini ini ialah ianya merupakan versi terbaru yang mana terdapat perbezaan profil muncung pesawat yang dikenali sebagai muncung jerung. Pesawat ini dilengkapi dengan sistem tambahan seperti sistem Radar Warning Receiver (RWR).


Perolehan 4 unit pesawat F-5F Tiger II ini adalah bagi menyokong keperluan latihan No.12 Skuadron.  Perolehan pesawat-pesawat ini telah membolehkan No.11 Skuadron yang sebelum ini mengoperasikan pesawar Sabre Mk.32 Avon diaktifkan semula sebagai sebuah Unit Peralihan Operasi (Operation Conversion Unit-OCU) kepada No.12 Skuadron.

Dengan pengaktifan semula No.11 Skuadron, maka segala aspek latihan, latihan lanjutan dan kursus refresher tidak lagi dibebankan kepada No.12 Skuadron yang merupakan skuadron pemintasan udara utama ketika itu. Kehadiran 4 unit pesawat Northrop F-5F Tiger II ini telah memantapkan kemahiran para juruterbang pesawat TUDM yang bakal mengoperasikan pesawat Northrop F-5E Tiger II dan juga sebagai platform penyediaan krew udara dan darat bagi No.6 dan dan No.9 Skuadron yang menggunakan pesawat A-4 PTM Skyhawk.


Pada tahun 1983, TUDM telah membuat sekali lagi perolehan baru 2 unit pesawat Northrop RF-5E Tigereye.  Secara asasnya, pesawat ini mempunyai sistem yang hampir sama dengan Northrop F-5E Tiger II tetapi tidak dilengkapi dengan meriam berputar M-39 berkaliber 20mm dan sistem radar. Kekurangan sistem-sistem tersebut adalah bagi memberi ruang untuk menempatkan dua sistem kamera yang dipasang pada muncung pesawat bagi melaksanakan misi merakam foto dari udara.

Pesawat RF-5E Tigereye dengan dengan tugas photoreconnaissance telah diserapkan ke dalam No.11 Skuadron TUDM. Pesawat versi ini telah diperolehi terlebih dahulu oleh Arab Saudi sekitar tahun 1980-an sebelum diperolehi TUDM.


Nahas Pesawat F-5E TUDM

Sepertimana pesawat-pesawat lain di dalam perkhidmatan TUDM, Pesawat F-5E ini juga tidak dapat mengelak daripada terlibat dalam nahas udara dan insiden. Sejak awal perkhidmatannya, Pesawat Northrop F-5 di dalam TUDM, hanya 4 nahas sahaja melibatkan pesawat buatan Firma Northrop ini.


Mengikut rekod, nahas pertama berlaku pada tahun 1978, manakala nahas kedua pada tahun 1982 tetapi kedua-kedua nahas tersebut tidak melibatkan kehilangan jiwa. Nahas ketiga pesawat northrop F-5E TUDM berlaku pada 14 Oktober 1994. Pesawat Northrop F-5E Tiger II yang diterbangkan oleh Leftenan Meor Nor Badrishah Mohammad (salah seorang tim projek Sukhoi Su-30 MKM. Merupakan juruterbang F/A - 18D Hornet ketika ini) yang ketika itu sedang menjalani latihan dengan sebuah lagi pesawat F/A-18C milik Tentera Udara DiRaja Australia (RAAF).



Keratan akhbar Berita Harian 15 Oktober 1994 mengenai nahas pesawat F-5E  TUDM dan F/A-18C RAAF


Ketika kejadian, pesawat F-5E  TUDM dan F/A-18C RAAF itu sedang melakukan formasi Scissors Cross pada ketinggian 3600 meter di Peraiaran Selat Melaka. Ketika kejadian,Pesawat F/A-18C RAAF berada di atas manakala F-5E TUDM berada di posisi bawah. Kedua-dua pesawat dikatakan cuba mengelak daripada berlanggar ketika melakukan formasi tersebut.


Akibatnya, bahagian ekor pesawat F-5E telah terlanggar dengan bahagian ekor pesawat F/A18 RAAF menyebabkan bahagian ekor F-5E terbakar. Juruterbang RAAF yang terlihat api kemudiannya memaklumkan kepada Leftenan Meor. Beliau kemudiannya telah mengambil keputusan pantas dengan menganjal keluar dari pesawat tersebut. Pesawat F-5E tersebut akhirnya berkecai sebelum terhempas di Perairan Selat Melaka, kira-kira 480km ke selatan Pulau Kendi atau 27 batu nautika dari Tanjung Piandang, Perak.


Nahas ke-4 dan yang terakhir berlaku melibatkan pesawat Northrop F-5E TUDM, iaitu pesawat F-5E Tiger II telah berlaku pada 31 Mei 1995, sehari sebelum TUDM menyambut ulangtahunnya yang ke-37 tahun. Pesawat F-5E yang diterbangkan oleh mendiang Mejar lai Yitt Fuen itu berlepas bersama sebuah lagi pesawat F-5E yang diterbangkan oleh Leftenan Sumar Lee Hashim Lee pada pukul 1958 bagi misi latihan penerbangan. Pesawat-pesawat tersebut dikatakan pulang secara berasingan, tetapi hanya pesawat yang diterbangkan oleh Leftenan Sumar Lee selamat tiba di pangkalan.





Keratan akhbar Berita Harian 1 dan 5 Jun 1995 mengenai nahas pesawat F-5E yang melibatkan Mejar Lai Yit Fuen.


Mejar Lai yang dikatakan berada di belakang gagal dijejak oleh radar. Kali terakhir pesawat malang tersebut menghubungi menara kawalan ialah pada pukul 2030 dan beberapa hubungan yang dibuat kemudiannya gagal. TUDM telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat pada pukul 2055 dengan pengawasan sendiri Panglima TUDM ketika itu, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Ghani Abdul Aziz.


Pesawat F-5E yang diterbangkan oleh Mejar Lai terhempas di kawasan laut, kira-kira 32 km di selatan Butterworth, berhampiran Tanjung Piandang, Perak. Operasi mencari dan menyelamat turut disertai oleh Pasukan Polis Marin Pulau Pinang dan Kapal Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM). Operasi ini telah melibatkan 3 buah helikopter Nuri dan dua buah pesawat ronda maritim Beechcraft yang ketika itu baru memasuki perkhidmatan TUDM.


Setelah operasi Search and Rescue (SAR) dilancarkan, kira-kira jam 1100, pada 1 Jun 1995 pesawat Beechcraft telah berjaya mengesan bangkai pesawat dan ekor pesawat di permukaan air. Setelah beberapa hari, gerakan mencari dan menyelamat dilakukan pada 4 Jun 1995, barulah mayat mendiang Mejar Lai Yit Fuen berjaya ditemukan.


Mejar Lai Yit Fuen telah meninggalkan seorang balu iaitu Pn.May Heng. Mengikut kenyataan Panglima TUDM ketika itu, Lt. Jeneral Datuk Abdul Ghani Abdul Aziz:-



“mengikut teori, sesuatu jisim yang bergerak pada kelajuan melebihi 30 batu sejam, akan berkecai apabila melanggar permukaan air, sama impaknya seperti melanggar tembok konkrit”

Lt. Jeneral Datuk Abdul Ghani Abdul Aziz,
Panglima TUDM 1993-1996



Nahas ini merupakan nahas terakhir yang melibatkan kehilangan jiwa melibatkan pesawat Northrop F-5E TUDM.  Khidmat pesawat F-5E ini ditamatkan setelah kemasukan pesawat Mikoyan MiG-29N Fulcrum dan Boeing F/A – 18D Hornet ke dalam perkhidmatan antara tahun 1995 – 1997.


Keluarga F-5E Aktif Semula

Setelah direhatkan hampir 8 tahun, pesawat F-5 milik TUDM telah diaktifkan semula ke dalam perkhidmatan


Nota:  Masih di dalam proses menaip.  Artikel ini akan dilengkapkan tidak lama lagi -









2 ulasan: