SAS DAN INSIDEN PRINCES GATE
Majalah
PERAJURIT Edisi April 2012
Artikel ni telah diterbitkan Majalah PERAJURIT edisi April 2012 lepas. Tapi
sayangnya tak ada nama aku sebagai penulis.
Ada sedikit kesilapan teknikal. Artikel
ni diterbitkan dalam kolum Operasi Khas
dan lebih ‘menarik’ tajuk artikel ni diletakkan di cover depan majalah. Bangga den! hahahaha.
Dari segi isi kandungan, boleh dikatakan tiada
sebarang pengubahsuaian, namun terdapat sedikit tambahan maklumat oleh pihak
editorial. Foto yang digunakan pun adalah
foto yang diusahakan sendiri tim editorial majalah.
Idea untuk menulis artikel ni? Macam biasa, aku suka baca keratan akhbar
lama yang disimpan oleh Pak Su aku (En. Johari Bin Rejab) yang suka kumpul
keratan akhbar tentang tentera selain pembaca setia majalah Perajurit sejak
1993. Aku terjumpa artikel tentang SAS
dan Insiden Princes Gate dan aku pun mengolah kembali tulisan tersebut dan
dihantar sebagai artikel kepada majalah Perajurit.
Ubah struktur ayat, ayat aktif aku pasifkan,
ayat pasif aku aktifkan. Kena buat
perubahan pada struktur ayat, tapi tak ubah maksud asal. Lagipun tak beretika kalau ambik semua poin
sebijik. Gambar di bawah ni keratan
akhbar Utusan Malaysia 22 Disember 1994 yang mengilhamkan aku menulis artikel
ni.
Ni
la keratan akhbar tentang SAS dan Insiden Princes Gate yang mengilhamkan aku
menulis artikel tentang SAS ni.
Jom
baca!
Rejimen 22 Special Air Service Britain atau
lebih dikenali sebagai SAS merupakan sebuah pasukan komando elit Tentera
British yang begitu sinonim dalam pembentukan unit melawan keganasan
moden. Ia bermula dengan penubuhan
pasukan Counter Revolutonary Warfare Wing- CRW yang ditubuhkan pada
tahun 70-an.
Pasukan CRW ini berperanan menyediakan
ketumbukan kawalan rapat dan elemen penggempur melawan keganasan yang ketika
itu merupakan satu keperluan bagi pihak Barat.
Pasukan komando dengan moto Who Dares Wins (Siapa Berani Menang)
ini menjadi terkenal dan secara tidak lansung telah menjadikan SAS sebagai ‘household
names’ dalam gerakan melawan keganasan selepas kejayaan operasi menyelamat
dalam insiden Princes Gate. Apakah yang
berlaku dalam Insiden Princes Gate ini?
Segalanya bermula apabila sekumpulan pengganas
seramai enam orang dari Barisan Revolusi Demokratik Arabistan menawan Kedutaan
Iran di Princes Gate, London pada 30 April 1980. Kumpulan pengganas ini bersenjatakan Submesingan
Scorpion, Pistol Automatik Browning dan sejumlah bom tangan buatan Soviet. Pemimpin kumpulan pengganas tersebut, Awn Ali
Mohammed, 27 yang menggunakan nama kod ‘Salim’ membuat tuntutan pembebasan 92
orang Arab yang ditahan di penjara Iran selain kemudahan untuk melarikan diri.
Sekiranya tuntutan tersebut tidak dipenuhi,
mereka mengugut untuk membunuh kesemua tebusan seramai 22 orang yang ditawan di
dalam bangunan kedutaan setinggi lima tingkat itu. Pasukan Polis Britain yang terdiri daripada
pegawai dan anggota Pasukan C13- Unit Anti Pengganas, Penembak tepat (Sniper)
dan Cawangan Sokongan Teknikal Scotland Yard bertindak segera dengan mempuat
kepungan di bangunan kedutaan di nombor 16, Princes Gate itu.
Kehadiran ratusan anggota polis tersebut
bagaimanapun hanyalah sekadar ‘wayang’ semata-mata. Ia bertujuan untuk mempengaruhi psikologi dan
melengah-lengahkan masa pihak pengganas bagi memberi ruang kepada SAS untuk
beraksi.
RED
& BLUE TEAM
Sekumpulan 24 anggota dikenali sebagai ‘Red
Team’ dari Skuadron Sabre SAS dengan seorang Kapten telah diterbangkan dari
Hereford bagi melaksanakan misi menggempur pengganas tersebut. Setelah diteliti dari pelbagai aspek, pihak
berkuasa Britain mendapati gerakan menyelamat tidak perlu dilakukan serta merta
dan satu strategi serangan secara mengejut telah diatur. ‘Red Team’ diletakan sebagai ‘Standby team’
sebagai persediaan melancarkan gerakan menyelamat.
Pada tengahari, 2 Mei 1980, sekumpulan anggota
SAS berkekuatan 25 orang dikenali sebagai ‘Blue Team’ telah dihantar untuk
membantu ‘Red Team’. Ketika proses
rundingan antara pengganas dan kerajaan Britain dilakukan, kedua-dua pasukan
tersebut mengambil inisiatif mengkaji setiap aspek kedudukan bangunan itu
sebagai persediaan untuk menggempur.
Pasukan M15 Britain yang bertindak sebagai unit risikan telah memasukkan
mikrofon di dalam serombong asap dan di tepi tingkap bangunan bagi mengesan
kedudukan pengganas serta tawanan.
PENGGANAS
MULA BERTINDAK!
Pada 5 Mei 1980, setelah keengganan pihak
berkuasa Britain tunduk kepada tuntutan yang dibuat pengganas tersebut serta
ketiadaan orang tengah berbangsa Arab, seorang tebusan, Abbas Lavasani, Ketua
Bahagian Akhbar Kedutaan Iran telah menjadi korban pertama. Beliau telah
ditembak mati dan mayatnya dicampak
keluar.
Keaadaan yang semakin genting menyebabkan Sir
David McNee, Pesuruhjaya Polis Britain memaklumkan bilik taklimat Pejabat
Kabinet (COBRA) mengenai penyerahan kawalan kepada SAS. COBRA merupakan nama panggilan bagi mesyuarat
peringkat kerajaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Britain ketika itu,
Margaret Thatcher yang turut dianggotai Kementerian Pertahanan Britain, M15,
M16 dan SAS.
Rentetan pembunuhan tebusan tersebut, sebuah
operasi dikenali sebagai ‘Operasi Nimrod’ telah dirangka oleh Komander
Rejimen Skuadron B SAS, Leftenan Kolonel Mike Rose yang telah mengambil alih
kawalan dari Pesuruhjaya Polis Sir David
McNee.
TAKTIK
BERKESAN PENENTU KEJAYAAN
Di dalam setiap operasi memerangi pengganas,
elemen kejutan merupakan satu elemen yang penting bagi mengkucar- kacirkan
pihak musuh. Dalam Operasi Nimrod ini,
Red Team telah menyerbu masuk ke dalam bangunan kedutaan tersebut melalui
bumbung manakala Blue Team menerajui serangan di tingkat bawah dan tingkat
satu.
Empat orang anggota Red Team menggunakan tali
untuk menyerbu tingkat dua manakala kumpulan lain melakukan serangan di tingkat
tiga.Serangan bermula dengan tembakan gas-gas pemedih mata ke dalam bangunan kedutaan tersebut. Dalam serbuan tersebut, Truper SAS
menggunakan senjata Submesingan Heckler
& Koch MP5K sebagai senjata utama dan Stun Grenades selain Pistol
Browning sebagai senjata sekunder.
Modus operandi yang digunakan oleh truper SAS semasa operasi menyelamat di
dalam bangunan kedutaan ialah dengan memecahkan semua pintu di dalam bangunan
kedutaan tersebut dan mencampakkan Stun
Grenades, menunggunya sehingga meletup dan kemudiannya menyerbu masuk ke
dalam bilik tersebut. Taktik sebegini
digunakan bagi menghadkan penglihatan pengganas dan memudahkan operasi
menyelamat.
Pengganas pertama ditembak mati oleh Truper SAS
yang bersenjatakan Submesingun MP5 ketika sedang bergelut dengan seorang
pengawal keselamatan di tingkat satu bagunan tersebut. Tembakan tepat mengenai
kepala dan dada pengganas tersebut.
Pengganas kedua pula ditembak di dalam bilik teleks bangunan kedutaan
tersebut.
Tembakan Truper SAS yang menggunakan Pistol
Browning setelah Submesingun MP5- nya tidak berfungsi tepat mengenai bahagian
kepala pengganas tersebut. Pengganas
yang terbunuh ini sebelumnya berjaya meloloskan diri daripada Truper SAS yang
merempuh masuk melalui tingkap di tingkat dua.
Di
bilik teleks inilah sebahagian besar tawanan disembunyikan. Apabila bilik tersebut diserbu masuk Truper
SAS, seorang pengganas telah menyembunyikan dirinya bersama kumpulan
tebusan. Pengganas tersebut dikenalpasti
dan ditumpaskan dengan tangannya masih memegang sebutir bom tangan buatan
Soviet.
Pengganas
keempat pula dibunuh di tangga ketika sedang melarikan diri bersama
tebusan. Hanya seorang sahaja pengganas
yang terselamat di dalam operasi tersebut.
Dua orang pengganas ditembak mati di bilik teleks, seorang di pintu
hadapan bangunan itu dan seorang lagi di ruang pejabat bahagian belakang
kedutaan berkenaan. Awn Ali Mohammed
ditembak mati di balkoni, tingkat pertama bangunan kedutaan tersebut.
MISI DISELESAIKAN
Di
akhir operasi, Pasukan SAS berjaya menyelamatkan 21 orang tebusan dengan
seorang mengalami kecederaan ringan dan seorang pengganas berjaya ditawan. Pasukan SAS tidak mengalami sebarang
kecederaan anggotanya. Kejayaan Operasi
Nimrod ini membuka mata umum mengenai keupayaan sebenar Rejimen Elit Tentera
British itu. Operasi ini mendapat
liputan meluas media Britain dan kejayaan SAS ini merupakan sesuatu yang amat
membanggakan.
Peristiwa
penuh dramatik ini telah digambarkan di dalam buku The SAS At Close Quaters hasil karya Steve Crawford, seorang
pakar ketenteraan dan bekas kakitangan Perkhidmatan Risikan Britain. Kejayaan operasi ini juga membawa kepada
penghasilan filem berjudul Who Dares Wins
lakonan Lewis Collin dan Richard Widmark.
Peristiwa
penawanan Bangunan Kedutaan Iran ini merupakan salah satu daripada puluhan
contoh kejayaan SAS di dalam operasi sejak Perang Dunia Kedua sehinggalah
penglibatan mereka di dalam Perang Falklands 1982 dan Perang Teluk 1991.
RUJUKAN:-
Prices
Gate bukti keupayaan SAS-
Keratan akhbar Utusan Malaysia,
Khamis 22 Disember 1994.
MELAWAN
KEGANASAN MODEN KEPERLUAN SEMASA ULK
N.S Shah- PERAJURIT Mac 2009.
‘THE
IRANIAN EMBASSY SIEGE’ - 16 PRINCES GATE, LONDON
Operation Nimrod - The Iranian Embassy Siege
Tiada ulasan:
Catat Ulasan