Wednesday, 8 August 2012

Pesawat DHC-4 Coribou TUDM



Sejarah DHC-4 Coribou
Pesawat DHC-4 Coribou TUDM merupakan pesawat pengangkut jarak sederhana buatan Firma De Havilland Canada (DHC). Pesawat Coribou merupakan platform pesawat angkut pertama milik TUDM yang mampu berlepas dan mendarat di landasan yang pendek dan tidak rata (Short Take Off-Landing-STOL).

Pesawat ini pada awalnya dibina bagi memenuhi keperluan Tentera Darat AS (US Army). Buat pertama kalinya, pesawat prototaip Coribou diterbangkan pada Julai 1958. Berikutan kemampuan STOL yang dimiliki pesawat Coribou ini, pihak Tentera Darat AS telah membuat pesanan sebanyak 158 unit pesawat ini yang akhirnya diserahkan kepada Tentera Udara AS (USAF) pada tahun 1967. Selain AS dan Malaysia, pesawat Coribou ini juga turut dioperasikan oleh beberapa buah negara lain antaranya, Australia, Kanada, Kenya, India, Sepanyol, Vietnam dan Zambia.

Kelasakan dan kesesuaian menyebabkan pesawat Coribou ini digunakan secara meluas oleh USAF ketika Perang Vietnam yang mana Coribou dikenali sebagai DHC-7 Coribou. Pesawat Coribou ini mempunyai pintu tanjakan (ramp) di belakang pesawat bagi memudahkan kerja-kerja pemunggahan dan membawa masuk keperluan logistik seperti bekalan, kargo, mengangkut anggota infantri, dan trup payung terjun.


Tanjakan ini telah memudahkan krew pesawat ketika sebarang operasi pengguguran bekalan dari udara. Dalam keadaan di mana kekurangan juruterbang, seorang juruterbang sudah memadai bagi menerbangkan pesawat Coribou ini.



DHC-4 Coribou TUDM
Secara keseluruhannya, hampir 22 unit pesawat DHC-4 Coribou dimiliki oleh TUDM. Semua pesawat ini mengikut sumber rujukan diperolehi sekitar tahun 1969 sehingga tahun 1979. Sejarah penerbangan pesawat DHC-4 Coribou TUDM bermula dengan 4 unit pesawat pertama yang dihadiahkan oleh Kerajaan Kanada pada bulan Mei 1966.


Sekumpulan juruterbang, jurutera dan juruteknik TUDM telah dihantar menjalani latihan penerbangan, pengendalian dan penyelenggaraan pesawat ini sebagai persiapan bagi menerima pesawat ini. Pesawat ini telah diterbangkan pulang ke tanah air oleh krew yang telah dilatih tersebut. Pesawat ini telah diterbangkan dari Stesen Tentera Udara DiRaja Kanada, Trenton pada 26 April 1966 dan berjaya mencecahkan tayarnya di landasan Pangkalan TUDM Sungai Besi pada 15 Mei 1966.

Pesawat-pesawat yang diterima ini telah ditumpangkan di bawah No. 8 Skuadron Pangkalan TUDM Labuan bagi menyokong tugas-tugas pengangkutan logistik dan anggota di Sabah dan Sarawak yang mana sebelum ini, tugas-tugas tersebut dibebankan kepada pesawat Twin Pioneer dan Single Pioneer.


Penamatan khidmat pesawat Single Pioneer dan Twin Pioneer kemudiannya memperlihatkan keperluan mendesak bagi TUDM untuk memiliki pesawat-pesawat pengangkut generasi terbaru bagi menyokong penugasan pesawat-pesawat angkut sediada yang masih terhad bilangannya.

Pada Mei 1969, Kerajaan Malaysia telah membuat perolehan pertama pesawat Coribou, setelah berpuas hati dengan kemampuan 4 unit pesawat Coribou yang dimiliki sebelumnya. Sebanyak 9 unit pesawat ini telah ditempah dan diterima secara berperingkat sehingga bulan Ogos tahun yang sama.

Tiga unit pesawat yang dibeli ini telah diserahkan kepada No.8 Skuadron, manakalan baki senyak 6 unit lagi telah ditempatkan di No.1 Skuadron, Pangkalan TUDM Sungai Besi. Pembelian tambahan sebanyak 9 unit pesawat Coribou ini telah menjadikan sebanyak 13 unit pesawat ini dalam pegangan TUDM ketika itu.

Dengan bertambahnya jumlah pesawat Coribou yang dimiliki, TUDM telah menubuhkan sebuah Detasmen Pesawat Coribou di Taiping, Perak pada bulan Ogos 1969. Beberapa tahun kemudian iaitu pada tahun 1971, TUDM telah memindahkan sebanya 4 unit Coribou ke Pangkalan TUDM Labuan bagi menambah kekuatan No.8 Skuadron.

Pembelian kedua pesawat DHC-4 Coribou
Keperluan yang mendesak, ketika era gelombang kebangkitan pengganas komunis suatu ketika dahulu menyebabkan pihak kerajaan mengambil langkah melaksanakan program pembelian kedua pesawat Coribou pada 18 Disember 1972. Pembelian kedua pesawat Coribou ini telah menjadikan jumlah pesawat Coribou ini telah menjadikan jumlah pesawat Coribou yang dimiliki oleh TUDM menjadi 22 unit.

Sebagai pesawat pengangkut, khidmat pesawat Coribou ini telah digunakan secara efektif dan menyeluruh bagi tugas-tugas mengangkut anggota tentera ke barisan hadapan, menerjunkan anggota payung terjun (Para dan Komando).
Selain itu, pesawat ini juga digunakan bagi tugas-tugas pengguguran dan penghantara bekalan serta menggugurkan risalah propaganda ke kawasan kubu komunis memujuk mereka menyerah diri.
Pandangan 3 Dimensi pesawat DHC-4 Coribou TUDM

Sebahagian pesawat Coribou pernah dioperasikan oleh No.1 Skuadron di bawah pemerintahan Markas Bantuan Udara (MABANUD) Pangkalan TUDM Kuching sehingga khidmat pesawat ini ditamatkan. No. 1 Skuadron yang sebelum ini berpangkalan di Pangkalan TUDM Sungai Besi telah dipindahkan ke Pangkalan TUDM Labuan pada tahun 1992.

Pesawat Coribou ini juga digunakan sebagai Pesawat Latihan Peralihan Operasi (OCU) sebelum para juruterbang pesawat angkut TUDM mempunyai kelayakan menerbangkan pesawat bersaiz lebih besar iaitu pesawat C-130 Hercules.

Komitmen Coribou Di Peringkat Nasional
Bagi generasi Tentera dan Pasukan Polis Hutan (PPH), terutama ketika era 70-an hingga 80-an, yang mana mereka terlibat dalam operasi memerangi pengganas komunis di semenanjung Malaysia, pesawat Coribou ketika itu amat sinonim dan mesra dengan mereka yang seringkali menggunakan pesawat ini ketika operasi.

Pesawat Coribou pada tahun 1998 telah digunakan dalam tugas pembenihan hujan di seluruh negara ketika negara dilanda jerebu teruk dan krisis air yang buruk. Selain itu, pesawat Coribou ini juga digunakan dalam penerbangan Ihsan membawa pesakit yang tinggal di kawasan pedalaman yang kritikal dan memerlukan rawatan segera ke Hospital Kuala Lumpur. Penggunaan pesawat ini juga turut diperlukan ketika bencana alam bagi tugas menyalurkan bantuan (Pengguguran bekalan dari udara).

Nahas Pesawat Coribou
Di sebalik kecemerlangan dan kegemilangan pesawat Coribou di dalam perkhidmatan TUDM, ia juga tidak dapat lari dari terlibat di dalam kemalangan udara atau nahas. Buat pertama kalinya, pesawat Coribou telah terlibat dalam nahas udara di Melingan, Sabah pada tahun 1966. Diikuti nahas kedua yang merupakan nahas terburuk di Cowie Bay, Tawau, Sabah pada tahun 1977.

Dalam insiden ini, seramai 18 orang anak kapal dan penumpang telah terkorban. Pada tahun 1982, sebuah pesawat Coribou telah terhempas di Cameron Highland yang menyebabkan 7 orang anggota TUDM terkorban. Pesawat Coribou ini ketika era irsugensi melawan kebangkitan pengganas komunis juga telah menjadi sasaran sabotaj oleh pengganas durjana tersebut.

Kejadian yang tidak disangka-sangka ini melibatkan sebuah pesawat Coribou yang ketika itu berada di landasan telah diletupkan menggunakan pelancar roket bermasa pada waktu malam di Pangkalan TUDM Kuala Lumpur.

Satu lagi nahas telah berlaku ketika latihan penerbangan peralihan di mana pesawat Coribou yang membawa 6 orang krew telah terhempas di Perairan Labuan, Sabah pada tahun 1 Ogos 1995. 3 orang krew terselamat, manakala 3 lagi terkorban.


Antara krew yang terselamat ialah Juruterbang: Kapten Raja Mohar Raja Bahari (Bidong, Kedah) Pembantu Juruterbang: Leftenan Azwan Pohari- (Bukit Kepong, Muar) Kapten Ali Ridha Mohd Yusof (Bagan Datoh, Perak).  Tiga lagi anak kapal yang terkorban ialah Kapten Najhan Mohamad (Batu Pahat, Johor), Leftenan Rosman Ramli (Tanjung Rambutan, Perak) dan Sarjan Ishak Tungiah (Muar, Johor).

Nahas terakhir telah berlaku pada 24 Mei 1999 di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Kuching yang mengorbankan 5 orang anak kapalnya. Khidmat pesawat Coribou ini telah ditamatkan pada bulan September tahun 2000.

Khidmat pesawat Coribou ini kemudiannya diambilalih oleh pesawat angkut kelas sederhana jarak dekat IPTN CN-235-220M buatan Firma IPTN dari Indonesia. Walaupun rekod perkhidmatan pesawat Coribou TUDM sedikit tercalar apabila beberapa unit pesawat ini terlibat dalam nahas udara, namun khidmat yang dicurahkan oleh pesawat ini sangat banyak bukan sahaja mencakupi aspek ketenteraan malahan juga kemanusiaan.  Kebanyakan pesawat Coribou kini masih terdapat di Pangkalan TUDM Kuching, Pangkalan TUDM Labuan dan seunit di Muzium TUDM, Pangkalan TUDM Sungai Besi.

No comments:

Post a Comment