Rabu, 29 April 2015

Legasi Nuri – Dari TUDM kepada PUTD

Legasi Nuri – Dari TUDM kepada PUTD


Semasa pameran “Langkawi International Maritime and Aerospace” (LIMA) 2015 yang lalu, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) telah menerima dua daripada keseluruhan 12 unit helikopter Nuri daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).  PUTD di awal penubuhannya pada pertengahan tahun 90-an bermula dengan bimbingan dan sumbangan aset daripada TUDM.  Sejumlah 10 helikopter Alloutte Mk. III telah dipindahkan kepada PUTD bagi membina sebuah entiti aviasi bagi Tentera Darat.

Dalam usaha menjadikan PUTD sebagai sebuah ketumbukan yang mampu beroperasi di dalam era peperangan moden hari ini, sejumlah 11 unit helikopter Agusta Westland AW-109 LOH telah diperolehi pada tahun 2003 yang membentuk Rejimen 881 PUTD.

Helikopter Agusta AW-109 LOH milik Rejimen 881 PUTD

Helikopter Nuri yang dicat semula dengan skim warna digital ini kelihatan agak berlainan daripada pesawat Nuri milik TUDM.  Dan bagi sesetengah pihak, (termasuk saya sendiri) skim warna Nuri PUTD ini kelihatan kurang menarik dan tidak begitu menyerlah.




Untuk rekod, kesemua 12 Nuri yang diserahkan kepada PUTD ini telah menjalani program permodenan oleh syarikat AIROD Sdn. Bhd. termasuk melengkapkan pesawat ini dengan sistem kokpit digital.

Walaupun hampir lima dekad bersama TUDM, Nuri masih lagi mampu untuk membelah angkasa dan kini, khidmatnya diteruskan oleh PUTD sebagai penyambung legasi Nuri. 

Legasi Nuri- Si Burung Besi!

Video sempena HUT PUTD ke-17 

Jumaat, 24 Januari 2014

Melawat Muzium TUDM


Melawat Muzium TUDM

16 Januari 2013, saya berkesempatan melawat Muzium TUDM di Pangkalan Udara Kuala Lumpur.  Lokasinya mudah dicari.  Bagi pelancong, terdapat akses pengangkutan awam yang terbaik untuk sampai ke Muzium ini.




Muzium TUDM dari Perspektif Peribadi
Ketika kunjungan saya ke Muzium TUDM, terdapat sebuah lagi keluarga berbangsa Cina yang turut sama melawat Muzium ini.  Tapi sayangnya, tiada kelibat seorang pun krew muzium yang boleh memberikan serba-sedikit maklumat atau penerangan kepada mereka.  Waktu ketika itu sudah jam 2 petang.  
           
Alangkah bagus kalau ada krew muzium yang dapat memberikan penerangan kepada kami mengenai pesawat-pesawat di dalam kawasan muzium ni.  Saya meluangkan masa hampir dua jam di Muzium ini.  Kedai cenderahati di dalam Muzium TUDM ini pula tidak dibuka.  Terkilan juga sebab tak dapat beli cenderamata untuk kenangan.

Keadaan pesawat?  Kebanyakan pesawat kelihatan tidak terjaga.  Maklumlah berjemur panas, bermandi hujan di tengah-tengah padang.  Tentang keadaan pesawat, tak boleh komen banyak.  Kalau nak bina hangar untuk tempatkan semua pesawat-pesawat ni, RM mungkin alasannya. “No money, no talk”!

Semangat dan perasaan “exited” saya untuk melawat Muzium TUDM tiba-tiba hilang bila sampai di sana.  Umpama kata pepatah, “indah khabar dari rupa”.  Namun, saya tetap berbangga dapat melawat Muzium TUDM ni.

Diharapkan di masa-masa hadapan, Muzium TUDM akan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik.  Bukan kesempurnaan yang dicari, tetapi sekurang-kurangnya pengunjung yang datang dirai dan dihargai.

Pengambilan Pegawai Graduan ATM 2014/2015


Pengambilan Pegawai Graduan ATM 2014/2015

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada anda yang mengikuti atau tersesat ke blog PenaPertahanan.Blogspot.Com.  Di dalam entri ringkas ini, saya ingin membincangkan mengenai Pengambilan Skim Pegawai Graduan bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Untuk pengetahuan anda, perjawatan Pegawai Bertauliah di dalam perkhidmatan ATM pada hari ini diisi oleh Pegawai Kadet dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).  Namun, bagi anda yang berminat untuk menjadi salah seorang Pegawai di dalam perkhidmatan ATM, anda mempunyai saluran alternatif iaitu melalui Skim Pegawai Graduan.

Apa itu Skim Pegawai Graduan??
Skim Pegawai Graduan merupakan kaedah pengambilan Pegawai bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Darat, Laut dan Udara dalam kalangan Graduan Ijazah Sarjana Muda dari mana-mana universiti tempatan dalam dan luar negara.

Pengurniaan watikah tauliah kepada salah seorang Pegawai Graduan TUDM yang disampaikan oleh YBhg. Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 
Foto kredit: airforce.gov.my

Kebanyakan disiplin atau bidang pengajian yang diperlukan merupakan antara bidang yang tidak ditawarkan di UPNM.  Namun, pada sesi pengambilan Pegawai Graduan 2015, terdapat banyak bidang yang ditawarkan di dalam perkhidmatan TUDM.  Disiplin yang diperlukan juga sentiasa berubah setiap tahun bagi memenuhi keperluan semasa.  Sekian sedikit info ringkas mengenai Skim Pegawai Graduan ATM.