Leftenan Kolonel Norhana Abdul Manaf (tengah) bersama Mejar Teoh Siow Ling (kiri) dan Mejar Patricia Yapp Syan Yin bergambar di Markas Tentera Udara Labuan baru-baru ini. — Foto Bernama |
Ruang udara yang terbentang luas tidak sedikit pun
menggentarkan juruterbang wanita pertama Asia yang mengendalikan pesawat
pejuang MiG-29 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Mejar Patricia Yapp Syau Yin, 41, dari Sandakan, Sabah yang
berpengalaman selama 20 tahun dalam TUDM, keberanian dan kecekapannya
mengendalikan pesawat pejuang itu menjadikannya setanding dengan
juruterbang lelaki.
“Saya berpengalaman sebagai juruterbang pesawat pejuang selama lima
tahun dari 2003 hingga 2007 sebelum ditugaskan menjadi jurulatih pesawat
pelatih Pilatus PC-7 MKII di Kolej Tentera Udara Alor Setar, Kedah,”
katanya yang sememangnya sejak kecil berminat dan berhasrat menerbangkan
pesawat juang.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Hari
Bersama Media sempena sambutan Hari TUDM ke-59 yang bertemakan “Kuasa
Udara, Tonggak Kedaulatan Negara” di Pangkalan Udara Labuan baru-baru
ini.
Katanya, sepanjang berkhidmat dalam TUDM, beliau pernah membawa dua
jenis pesawat pejuang iaitu MB-339 dan MiG-29 dan kedua-dua pesawat
berkenaan mempunyai kisah pahit tersendiri.
”Detik cemas saya alami ketika menerbangkan MB-339 apabila
enjinnya bermasalah dan mengeluarkan api, ketika itulah saya buat
'Mayday Call' yang mana orang akan beri keutamaan kepada kita untuk
mendarat di landasan.
“Bagi MiG-29 pula ketika berada di ruang udara yang paling tinggi saya
kekurangan oksigen dan waktu itu saya terlelap beberapa saat sebelum
menekan butang khas oksigen, yang terus masuk ke ruangan kokpit,” kata
Patricia.
Bagi juruterbang helikopter TUDM wanita pertama di Malaysia, Left Kol
Norhana Abdul Manaf, 43, menyertai bidang yang didominasi lelaki adalah
cabaran terbesar dalam hidupnya.
Berpengalaman dalam TUDM selama 23 tahun, beliau tidak menyangka cita-citanya untuk menjadi juruterbang helikopter tercapai.
“Alhamdulillah dengan galakan serta semangat daripada keluarga dan
rakan-rakan seperjuangan menjadikan diri saya seorang yang berani dan
tidak gentar apabila membawa helikopter ketika melaksanakan apa jua
operasi TUDM,” katanya.
Beliau berkata peristiwa yang tidak dapat dilupakan semasa bertugas
ialah apabila helikopter yang dikendalikannya ketika menyertai misi
pertama operasi perkhidmatan doktor udara mengalami masalah teknikal.
Katanya helikopter yang membawa doktor dan bekalan perubatan ke
kawasan pedalaman Orang Asli itu tidak dapat balik ke pangkalan dan
mereka terpaksa bermalam di kawasan itu selama tiga hari sementara
menunggu bantuan. — Bernama
Sumber Asal: http://www.themalaymailonline.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan