Di
dalam ruangan Surat Pembaca majalah PERAJURIT
edisi Oktober 2011 yang lalu, saya telah merakamkan sedikit coretan mengenai
Tragedi Berdarah Super Puma di
Sungai Petani, Kedah pada penghujung tahun 1993. Artikel tersebut menceritakan sebuah nahas
yang melibatkan sebuah helikopter untuk penerbangan VIP milik Tentera Udara DiRaja
Malaysia (TUDM) iaitu Super Puma NAS-332 bernombor M36-01 dari No.10 Skuadron
buatan Firma Industri Pesawat Terbang Nusantara (IPTN) dari Indonesia.
Tujuan
saya mengimbau kembali tragedi nahas udara yang melibatkan beberapa pesawat
Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM)
suatu ketika dahulu bukanlah bertujuan untuk membuka kelemahan, kekurangan
ataupun merendahkan martabat organisasi TUDM pada pandangan masyarakat umum
khasnya, tetapi sekadar untuk berkongsi informasi dengan para pembaca. Saya mempunyai
pandangan dan alasan tersendiri yang membawa kepada penulisan artikel mengenai nahas
pesawat-pesawat TUDM ini. Niat saya hanyalah
satu, untuk memperingati kembali mangsa-mangsa nahas tersebut. Selain itu saya juga mengharapkan agar
sekiranya ada dalam kalangan para pembaca yang terbaca merupakan sahabat
handai, rakan seperjuangan mahupun sanak saudara anggota yang terkorban,
bersamalah kita doakan agar roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang
yang beriman. Dengan penulisan ini diharapkan akan dapat mengingatkan kembali
kepada mereka yang telah tiada di sisi.
Di
dalam artikel kali ini pula, saya akan menceritakan serba-sedikit maklumat mengenai
nahas yang melibatkan sebuah pesawat latihan yang boleh dikatakan agak low profile di dalam perkhidmatan TUDM
kerana agak kurang dikenali umum dan kurang mendapat perhatian media ketika
itu. Tidak seperti ‘rakannya’ iaitu
pesawat Pilatus PC-7 yang boleh dikatakan agak popular dengan tugasnya sebagai
pesawat latihan asas dan utama milik TUDM.
Nahas pesawat ini juga menarik perhatian saya kerana nahas pesawat ini
melibatkan dua juruterbang masing-masing daripada TUDM dan Pasukan Udara
Tentera Darat (PUTD).
Pesawat
yang dimaksudkan oleh saya ialah pesawat latihan Bulldog B-100. Bagi warga
TUDM era 1990-an pastinya berpeluang melihat dan mendekati pesawat ini terutama
para juruterbang yang pernah menerbangkannya dan juruteknik-juruteknik yang
menyelenggarakannya. Pesawat ini
digunakan sebagai medium latihan asas bagi melatih bakal-bakal juruterbang TUDM dan ATM sebelum beralih kepada pesawat
latihan Pilatus PC-7.
Sejarah Ringkas Bulldog B-100
Pesawat
Bulldog B-100 merupakan sebuah pesawat latihan asas dua tempat duduk buatan sebuah
firma Scottish Aviation dari Scotland.
Dua unit prototaip pesawat ini yang dikenali dengan kod nama G-AHEX, c/n
001 mula dibangunkan pada 19 Mei 1969. Pesawat
prototaip kumpulan kedua pula dengan nama kod G-AXIG, c/n 002 mula diterbangkan
buat kali pertama pada 14 Februari 1971.
Kedua-dua prototaip pesawat ini akhirnya membawa kepada pengenalan
pesawat dengan nama Bulldog B-100 (siri 100) yang terdiri daripada pelbagai varian
antaranya Bulldog B-102, 104, 108 dan beberapa lagi. Pesawat Bulldog siri 100 pengeluaran pertama
mula melakukan penerbangan sulung pada 22 Jun 1971. Sejumlah 98 unit pesawat ini telah ditempah
dan dioperasikan oleh Malaysia, Sweden dan Kenya dan Malaysia mengikut sumber
dikatakan membuat perolehan sebanyak 15 unit pesawat ini pada tahun 1972.
Pesawat ini digunakan sebagai pesawat latihan
asas penerbangan di Pusat Latihan Terbang 1 (PULATIBANG 1) di Kepala Batas,
Alor Setar, Kedah. Setelah beberapa
dekad mencurahkan khidmat bakti, pesawat Bulldog telah ditamatkan
perkhidmatannya dan kini, pesawat ini dijadikan monumen dan boleh dilihat di
Kolej Tentera Udara (KTU), Kepala Batas, Alor Setar dan juga di Muzium TUDM di
Sg. Besi.
Nahas Bulldog di Pendang, Kedah
Leftenan Man Effandi merupakan salah seorang daripada 10 orang pegawai dari Tentera Darat Malaysia (TDM) yang terpilih menganggotai tim nukleus juruterbang perintis penubuhan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) pada tahun 1993. Beliau dan rakan-rakannya yang berpangkat Leftenan dan Leftenan Muda dari pelbagai kor dan rejimen seperti Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) dan Rejimen Gerak Khas (RGK) yang telah terpilih mula mengikuti kursus asas penerbangan di Pusat Latihan Terbang di Alor Setar, Kedah sejak bulan Februari tahun yang sama.
Kampung Kerkau
Setelah
hampir 50 minit berada di ruang angkasa, pesawat malang tersebut telah
dilaporkan terhempas di kawasan sawah di Kampung Kerkau, Pendang, Kedah. Kampung Kerkau yang terletak di dalam Mukim
Guar Kepayang merupakan sebahagian daripada kampung-kampung di dalam daerah
Pendang, Kedah. Kampung ini terletak
kira-kira 7 kilometer dari pekan pendang dan hampir 40 kilometer ke Kolej
Tentera Udara (KTU) yang menempatkan Pusat Latihan Terbang 1 (PULATIBANG 1) di
Kepala batas, Alor Setar. Kedudukan kampung
ini hanya kira-kira 10 kilometer
daripada kampung halaman penulis di Pendang, Kedah.
Pesawat
Bulldog tersebut dikatakan membuat panggilan pertama dengan menara kawalan
kira-kira jam 1.23 petang, setelah tiga minit berlepas. Kali terakhir pesawat
tersebut berhubung dengan menara kawalan ialah pada jam 1.50 petang. Selepas cubaan menara kawalan untuk
berhubung dengan pesawat tersebut kemudiannya gagal, dua buah pesawat telah
diatugerakkan bagi misi rondaan bagi mengesan kedudukan pesawat tersebut pada
jam 2.08 petang. Pada jam 2.13 petang,
pihak polis telah menghubungi TUDM Alor Setar untuk melaporkan kejadian pesawat
tersebut terhempas dan status kedua juruterbangnya.
Lembaga Siasatan Nahas
Sudah
menjadi kebiasaan lembaga siasatan nahas akan ditubuhkan selepas berlakunya
sesuatu nahas pesawat. Oleh itu, sebuah
lembaga siasatan nahas telah ditubuhkan bagi menyiasat tragedi pesawat Bulldog
B-100 yang mengorbankan kedua juruterbangnya telah diketuai oleh Lt. Kolonel Salleh
Bin Ahmad dari Institut Latihan Ikhtisas Penerbangan, Jurutera TUDM- Mejar
Sharif Maanshah, Juruterbang TUDM- Mejar
Ahmad Zainuddin Ahmad Zakaria dan seorang pegawai perubatan. Siasatan awal oleh lembaga siasatan ini
mendapati tidak berlaku sebarang kerosakan enjin pada pesawat semasa berada di
udara. Pesawat tersebut juga dikatakan
diterbangkan pada kelajuan normal dan terhempas secara mendatar berdasarkan
keadaan pesawat di tempat kejadian.
Seorang
saksi yang berada berhampiran lokasi nahas menyatakan bahawa beliau terdengar
bunyi enjin pesawat tersebut agak pelik kerana ianya berbunyi dan kemudiannya
tidak berbunyi seolah-olah tersekat-sekat.
Seorang lagi saksi yang ketika itu sedang bekerja di sawahnya menyatakan
pesawat tersebut berpusing beberapa kali di udara dengan muncung pesawat
menghala ke bawah. Pesawat tersebut
kemudiannya terhempas di atas batas tetapi tidak meletup. Kedua-dua saksi yang kemudiannya mendekati
pesawat tersebut melihat kedua-dua juruterbang tersebut mengalami kecederaan
parah di muka, kepala dan dada akibat impak hentakan yang kuat akibat hempasan
tersebut. Kedua-duanya meninggal dunia
di tempat kejadian.
Oleh
kerana pesawat tidak mempunyai kotak hitam dan tiada juruterbang yang
terselamat menyebabkan lembaga siasatan terpaksa mengambil masa yang agak lama
kerana proses siasatan memerlukan penelitian dan kajian terhadap bukti-bukti
yang ditinggalkan. Selain mendapatkan
kertas simulasi pesawat, lembaga siasatan nahas tersebut juga turut mengkaji
keadaan pesawat setelah terhempas untuk mengetahui bahagian badan pesawat yang
mula menyentuh tanah semasa terhempas untuk mengetahui paras ketinggian pesawat
di udara sebelum nahas. Lembaga siasatan
tersebut hanya boleh membuat rumusan mengenai punca nahas pesawat Bulldog tersebut
setelah rujukan terhadap bukti diselesaikan.
Penulis tidak mempunyai maklumat tepat berkaitan keputusan lembaga
siasatan tersebut samada tragedi tersebut berpunca daripada kegagalan sistem
mekanikal pesawat, kecuaian juruterbang ataupun faktor-faktor lain. Faktor keadaan cuaca pada pandangan penulis berkemungkinan
tidak mempengaruhi nahas pesawat ini kerana keadaan cuaca ketika nahas tersebut
adalah baik dan cerah.
Doakan Mereka
Juruterbang
TUDM hanyalah insan biasa dan mereka juga tidak terlepas dari melakukan
sebarang kesilapan. Jika berlaku sesuatu
nahas yang melibatkan pesawat-pesawat TUDM, maka akan mula kedengaran
suara-suara sumbang yang menuduh juruterbang TUDM sebagai tidak cekap dan
profesional, pesawat sudah uzur dan tidak sesuai diterbangkan, juruteknik tidak
berkemampuan menyelenggara pesawat dengan baik, penggunaan alatganti yang tidak
berkualiti dan pelbagai lagi. Walau apa
pun punca kemalangan yang dirumuskan oleh lembaga siasatan nahas, mereka yang
telah pergi tidak mungkin kembali lagi.
Bagi
segelintir juruterbang TUDM era 1995, tragedi tersebut mungkin masih lagi segar
di dalam ingatan kerana mungkin detik-detik kehilangan rakan seperjuangan
mereka akibat nahas pesawat tersebut seakan-akan sukar dipercaya. Masakan tidak, ada di antaranya yang baru
setengah jam bergurau di crew room,
ketawa pun belum habis, gusi pun belum lagi kering, tiba-tiba dikejutkan dengan
berita kehilangan rakan seperjuangan.
Sesuatu yang mungkin meninggalkan kesan yang agak mendalam. Ada juga
dalam kalangan mereka yang telah pergi ini merupakan sahabat, saudara yang
sama-sama menjalani latihan kadet, tinggal satu blok, satu bilik ataupun sama-sama
menerbangkan pesawat sebagai Pilot dan Co-Pilot.
Kini
pesawat Bulldog B-100 tidak lagi berkhidmat di dalam perkhidmatan TUDM sebagai
salah satu varian pesawat latihan asas TUDM.
Seunit pesawat ini telah dijadikan sebagai monumen di Kolej Tentera
Udara (KTU), Alor Setar, Kedah. Walaupun
tragedi ini telah berlalu hampir 16 tahun yang lalu namun bagi insan yang rapat
dan dekat terutamanya keluarga serta balu kedua-dua juruterbang ini, pastinya
tragedi ini merupakan sesuatu yang tidak dapat dilupakan. Bagi sahabat handai serta rakan-rakan seperjuangan
kedua juruterbang ini iaitu daripada Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan
Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), tragedi ini telah menghilangkan salah
seorang rakan di dalam kehidupan mereka.
Marilah bersama-sama kita panjatkan doa agar roh kedua-dua juruterbang
ini dirahmati Allah dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang
beriman. Al-fatihah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan