Sejarah
DHC-4 Coribou
Pesawat
DHC-4 Coribou TUDM merupakan pesawat pengangkut jarak sederhana
buatan Firma De Havilland Canada (DHC). Pesawat Coribou merupakan
platform pesawat angkut pertama milik TUDM yang mampu berlepas dan
mendarat di landasan yang pendek dan tidak rata (Short Take
Off-Landing-STOL).
Pesawat
ini pada awalnya dibina bagi memenuhi keperluan Tentera Darat AS (US
Army). Buat pertama kalinya, pesawat prototaip Coribou diterbangkan
pada Julai 1958. Berikutan kemampuan STOL yang dimiliki pesawat
Coribou ini, pihak Tentera Darat AS telah membuat pesanan sebanyak
158 unit pesawat ini yang akhirnya diserahkan kepada Tentera Udara AS
(USAF) pada tahun 1967. Selain AS dan Malaysia, pesawat Coribou ini
juga turut dioperasikan oleh beberapa buah negara lain antaranya,
Australia, Kanada, Kenya, India, Sepanyol, Vietnam dan Zambia.
Kelasakan
dan kesesuaian menyebabkan pesawat Coribou ini digunakan secara
meluas oleh USAF ketika Perang Vietnam yang mana Coribou dikenali
sebagai DHC-7 Coribou. Pesawat Coribou ini mempunyai pintu tanjakan
(ramp) di belakang pesawat bagi memudahkan kerja-kerja pemunggahan
dan membawa masuk keperluan logistik seperti bekalan, kargo,
mengangkut anggota infantri, dan trup payung terjun.
Tanjakan
ini telah memudahkan krew pesawat ketika sebarang operasi pengguguran
bekalan dari udara. Dalam keadaan di mana kekurangan juruterbang,
seorang juruterbang sudah memadai bagi menerbangkan pesawat Coribou
ini.
DHC-4
Coribou TUDM
Secara
keseluruhannya, hampir 22 unit pesawat DHC-4 Coribou dimiliki oleh
TUDM. Semua pesawat ini mengikut sumber rujukan diperolehi sekitar
tahun 1969 sehingga tahun 1979. Sejarah penerbangan pesawat DHC-4
Coribou TUDM bermula dengan 4 unit pesawat pertama yang dihadiahkan
oleh Kerajaan Kanada pada bulan Mei 1966.
Sekumpulan
juruterbang, jurutera dan juruteknik TUDM telah dihantar menjalani
latihan penerbangan, pengendalian dan penyelenggaraan pesawat ini
sebagai persiapan bagi menerima pesawat ini. Pesawat ini telah
diterbangkan pulang ke tanah air oleh krew yang telah dilatih
tersebut. Pesawat ini telah diterbangkan dari Stesen Tentera Udara
DiRaja Kanada, Trenton pada 26 April 1966 dan berjaya mencecahkan
tayarnya di landasan Pangkalan TUDM Sungai Besi pada 15 Mei 1966.
Pesawat-pesawat
yang diterima ini telah ditumpangkan di bawah No. 8 Skuadron
Pangkalan TUDM Labuan bagi menyokong tugas-tugas pengangkutan
logistik dan anggota di Sabah dan Sarawak yang mana sebelum ini,
tugas-tugas tersebut dibebankan kepada pesawat Twin Pioneer dan
Single Pioneer.
Penamatan
khidmat pesawat Single Pioneer dan Twin Pioneer kemudiannya
memperlihatkan keperluan mendesak bagi TUDM untuk memiliki
pesawat-pesawat pengangkut generasi terbaru bagi menyokong penugasan
pesawat-pesawat angkut sediada yang masih terhad bilangannya.
Pada
Mei 1969, Kerajaan Malaysia telah membuat perolehan pertama pesawat
Coribou, setelah berpuas hati dengan kemampuan 4 unit pesawat Coribou
yang dimiliki sebelumnya. Sebanyak 9 unit pesawat ini telah ditempah
dan diterima secara berperingkat sehingga bulan Ogos tahun yang
sama.
Tiga
unit pesawat yang dibeli ini telah diserahkan kepada No.8 Skuadron,
manakalan baki senyak 6 unit lagi telah ditempatkan di No.1 Skuadron,
Pangkalan TUDM Sungai Besi. Pembelian tambahan sebanyak 9 unit
pesawat Coribou ini telah menjadikan sebanyak 13 unit pesawat ini
dalam pegangan TUDM ketika itu.
Dengan
bertambahnya jumlah pesawat Coribou yang dimiliki, TUDM telah
menubuhkan sebuah Detasmen Pesawat Coribou di Taiping, Perak pada
bulan Ogos 1969. Beberapa tahun kemudian iaitu pada tahun 1971, TUDM
telah memindahkan sebanya 4 unit Coribou ke Pangkalan TUDM Labuan
bagi menambah kekuatan No.8 Skuadron.
Pembelian
kedua pesawat DHC-4 Coribou
Keperluan
yang mendesak, ketika era gelombang kebangkitan pengganas komunis
suatu ketika dahulu menyebabkan pihak kerajaan mengambil langkah
melaksanakan program pembelian kedua pesawat Coribou pada 18 Disember
1972. Pembelian kedua pesawat Coribou ini telah menjadikan jumlah
pesawat Coribou ini telah menjadikan jumlah pesawat Coribou yang
dimiliki oleh TUDM menjadi 22 unit.
Sebagai
pesawat pengangkut, khidmat pesawat Coribou ini telah digunakan
secara efektif dan menyeluruh bagi tugas-tugas mengangkut anggota
tentera ke barisan hadapan, menerjunkan anggota payung terjun (Para
dan Komando).
Selain
itu, pesawat ini juga digunakan bagi tugas-tugas pengguguran dan
penghantara bekalan serta menggugurkan risalah
propaganda
ke kawasan kubu komunis memujuk mereka menyerah diri.
Pandangan
3 Dimensi pesawat DHC-4 Coribou TUDM
Sebahagian
pesawat Coribou pernah dioperasikan oleh No.1 Skuadron di bawah
pemerintahan Markas Bantuan Udara (MABANUD) Pangkalan TUDM Kuching
sehingga khidmat pesawat ini ditamatkan. No. 1 Skuadron yang sebelum
ini berpangkalan di Pangkalan TUDM Sungai Besi telah dipindahkan ke
Pangkalan TUDM Labuan pada tahun 1992.
Pesawat
Coribou ini juga digunakan sebagai Pesawat Latihan Peralihan Operasi
(OCU) sebelum para juruterbang pesawat angkut TUDM mempunyai
kelayakan menerbangkan pesawat bersaiz lebih besar iaitu pesawat
C-130 Hercules.
Komitmen
Coribou Di Peringkat Nasional
Bagi
generasi Tentera dan Pasukan Polis Hutan (PPH), terutama ketika era
70-an hingga 80-an, yang mana mereka terlibat dalam operasi memerangi
pengganas komunis di semenanjung Malaysia, pesawat Coribou ketika itu
amat sinonim dan mesra dengan mereka yang seringkali menggunakan
pesawat ini ketika operasi.
Pesawat
Coribou pada tahun 1998 telah digunakan dalam tugas pembenihan hujan
di seluruh negara ketika negara dilanda jerebu teruk dan krisis air
yang buruk. Selain itu, pesawat Coribou ini juga digunakan dalam
penerbangan Ihsan membawa pesakit yang tinggal di kawasan pedalaman
yang kritikal dan memerlukan rawatan segera ke Hospital Kuala Lumpur.
Penggunaan pesawat ini juga turut diperlukan ketika bencana alam bagi
tugas menyalurkan bantuan (Pengguguran bekalan dari udara).
Nahas
Pesawat Coribou
Di
sebalik kecemerlangan dan kegemilangan pesawat Coribou di dalam
perkhidmatan TUDM, ia juga tidak dapat lari dari terlibat di dalam
kemalangan udara atau nahas. Buat pertama kalinya, pesawat Coribou
telah terlibat dalam nahas udara di Melingan, Sabah pada tahun 1966.
Diikuti nahas kedua yang merupakan nahas terburuk di Cowie Bay,
Tawau, Sabah pada tahun 1977.
Dalam
insiden ini, seramai 18 orang anak kapal dan penumpang telah
terkorban. Pada tahun 1982, sebuah pesawat Coribou telah terhempas di
Cameron Highland yang menyebabkan 7 orang anggota TUDM terkorban.
Pesawat Coribou ini ketika era irsugensi melawan kebangkitan
pengganas komunis juga telah menjadi sasaran sabotaj oleh pengganas
durjana tersebut.
Kejadian
yang tidak disangka-sangka ini melibatkan sebuah pesawat Coribou yang
ketika itu berada di landasan telah diletupkan menggunakan pelancar
roket bermasa pada waktu malam di Pangkalan TUDM Kuala Lumpur.
Satu
lagi nahas telah berlaku ketika latihan penerbangan peralihan di mana
pesawat Coribou yang membawa 6 orang krew telah terhempas di Perairan
Labuan, Sabah pada tahun 1 Ogos 1995. 3 orang krew terselamat,
manakala 3 lagi terkorban.
Antara
krew yang terselamat ialah Juruterbang: Kapten Raja Mohar Raja Bahari
(Bidong, Kedah) Pembantu Juruterbang: Leftenan Azwan Pohari- (Bukit
Kepong, Muar) Kapten Ali Ridha Mohd Yusof (Bagan Datoh, Perak). Tiga
lagi anak kapal yang terkorban ialah Kapten Najhan Mohamad (Batu
Pahat, Johor), Leftenan Rosman Ramli (Tanjung Rambutan, Perak) dan
Sarjan Ishak Tungiah (Muar, Johor).
Nahas
terakhir telah berlaku pada 24 Mei 1999 di Lapangan Terbang
Antarabangsa (LTA) Kuching yang mengorbankan 5 orang anak kapalnya.
Khidmat pesawat Coribou ini telah ditamatkan pada bulan September
tahun 2000.
Khidmat
pesawat Coribou ini kemudiannya diambilalih oleh pesawat angkut kelas
sederhana jarak dekat IPTN CN-235-220M buatan Firma
IPTN dari Indonesia. Walaupun rekod perkhidmatan pesawat Coribou
TUDM sedikit tercalar apabila beberapa unit pesawat ini terlibat
dalam nahas udara, namun khidmat yang dicurahkan oleh pesawat ini
sangat banyak bukan sahaja mencakupi aspek ketenteraan malahan juga
kemanusiaan. Kebanyakan
pesawat Coribou kini masih terdapat di Pangkalan TUDM Kuching,
Pangkalan TUDM Labuan dan seunit di Muzium TUDM, Pangkalan TUDM
Sungai Besi.